9 kes naik harga ayam, menu makanan di Pulau Pinang  - Utusan Malaysia

9 kes naik harga ayam, menu makanan di Pulau Pinang 

PPDNHEP Pulau Pinang mengesan sembilan kes berkaitan kenaikan harga ayam dan penandaan tanda harga bagi menu makanan di premis termasuk restoran sejak SHMKM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang merekodkan sembilan kes berkaitan kenaikan harga ayam dan penandaan tanda harga bagi menu makanan di premis termasuk restoran. 

Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab Ghapar berkata, pemeriksaan dijalankan susulan aduan menerusi akhbar tempatan mengenai harga ayam melebihi harga maksimum Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) serta Ops Menu di daerah Barat Daya dan Timur Laut. 

Menurutnya, pemeriksaan turut dilakukan bersama Ketua Seksyen Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (SKHAP), Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Zubir Hamsa hari ini. 

“Pemeriksaan mendapati peniaga pasar awam di daerah itu mematuhi harga  SHMKM yang telah dikuatkuasakan pada 7 Disember lalu melibatkan 12 barangan keperluan seperti kategori ayam hidup, ayam standard, ayam super dan sayur-sayuran. 

“Seterusnya, Ops Menu pula bagi memastikan pematuhan pemilik restoran dan kedai makan terhadap penandaan tanda harga dan pemakaian alat timbang selain mengamalkan budaya perniagaan beretika dan tidak memperdayakan pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau memberitahu, PPDNHEP negeri telah menjalankan sebanyak 249 pemeriksaan sejak SHMKM berkuat kuasa dan merekodkan tujuh kes dengan nilai kompaun sebanyak RM500 manakala dua kes lagi dicatatkan dalam Ops Menu melibatkan 490 pemeriksaan. 

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya mengingatkan mana-mana peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga yang tidak munasabah dengan niat untuk mendapatkan keuntungan berlebihan. 

“Tindakan boleh dikenakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya