KUALA NERUS: Tujuh rakan sekerja di Pusat Ekosistem Digital Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta kenangan manis apabila meraih ijazah sarjana serentak pada Majlis Konvokesyen Ke-18 (Siri Ke-2) universiti itu di sini hari ini.
Kesemua graduan berkenaan merupakan pegawai teknologi maklumat dan juga penolong pegawai teknologi.
Mereka ialah Wan Mohd. Wazir Wan Abdul Wahab, 43; Ahmad Nazir Haron, 43; dan Abdul Rahim Abu Bakar, 39, yang menerima Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat.
Manakala empat yang lain merupakan penerima Ijazah Sarjana Sains Komputer iaitu Tajul Arifin Abd. Manan, 45; Mohamad Jazli Shafizan Jaafar, 44; Nordin Abd. Rasid, 38; dan Mohd. Erman Safawie Che Ibrahim, 35.
Wan Mohd. Wazir berkata, pengorbanan mereka menyambung pengajian selama hampir setahun sejak 2019 berbaloi apabila kesemuanya menamatkan usaha itu dengan segulung ijazah.
Katanya, hasrat bergelar pelajar separuh masa itu berlaku secara kebetulan dan inisiatif berkenaan berjaya menarik minat rakan sekerja lain secara berperingkat.
“Kami merupakan antara graduan sulung bagi program sarjana teknologi maklumat dan sains komputer, tentunya hari ini merupakan detik paling manis kerana dapat bersama-sama menerima ijazah.
“Cuma, seorang lagi rakan kami tidak dapat menyertai konvokesyen hari ini kerana menjadi kontak rapat Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas selesai majlis itu. -UTUSAN ONLINE