2,000 pusat proses getah krip dibina  - Utusan Malaysia

2,000 pusat proses getah krip dibina 

ZURAIDA Kamaruddin (kiri) memasukkan getah beku mangkuk ke dalam mesin memproses getah krip di Stesen Penyelidikan Getah Sungai Sari, Padang Sanai, Padang Terap hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Sebanyak 2,000 pusat pemprosesan getah krip bakal dibina di seluruh negara untuk membantu kira-kira 459,000 pekebun getah kecil menjana pendapatan lebih baik.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, langkah tersebut antara usaha yang dirancang kementeriannya di bawah program Transformasi Perusahaan Getah Negara (Target).

“Apabila pusat pemprosesan getah ini siap, pekebun kecil boleh menghantar getah beku mangkuk untuk dijadikan krip. Apabila sudah menjadi krip, nilainya akan menjadi lebih tinggi sekali gus mendatangkan pendapatan lebih baik kepada pekebun kecil.

“Dengan itu, kalangan pekebun kecil tidak perlu lagi menggunakan khidmat orang tengah sebaliknya boleh menjual secara terus kepada syarikat-syarikat yang menghasilkan produk berasaskan getah,” katanya.  

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Stesen Penyelidikan Sungai Sari (SPSS), Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Padang Sanai di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah LGM, Lee Chin Cheh, Ketua Pengarah LGM, Dr. Zairossani Mohd. Nor serta Pengerusi Majlis Getah Malaysia (MRC), Dr. Daroyah Alwi.

Tambahnya, langkah tersebut boleh membantu pekebun kecil untuk memperolehi pendapatan mencecah RM2,000 dengan menjual getah krip berbanding antara RM1,200 hingga RM1,300 dengan hanya menjual getah beku mangkuk sebelum ini.

“Sebagai permulaan, LGM menyasarkan untuk membina 100 pusat pemprosesan itu di Kedah memandangkan negeri ini merupakan antara yang menghasilkan getah tertinggi iaitu 30 peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah negara.

“Apabila pusat pemprosesan itu siap nanti, seboleh-bolehnya kita mahukan supaya pihak koperasi yang mengusahakannya. Setidak-tidaknya usaha itu dapat membantu lagi meningkatkan pendapatan usaha pekebun kecil secara menyeluruh,” katanya.  

Dalam pada itu Zuraida memaklumkan, proses membawa masuk seramai 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit di negara ini akan dilakukan secepat mungkin bagi memenuhi permintaan sektor berkenaan.

“Kalau Kementerian Kesihatan benarkan dan semuanya baik, insya-Allah tahun depan kita bawa masuk pekerja asing tersebut.

“Sebelum Covid-19 ni pun ada syarikat yang sudah bayar levi pekerja asing namun mereka belum masuk. Saya fikir ada kira-kira 20,000 orang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya