11,384 mangsa banjir terjejas, 66,015 petugas digerakkan - PM - Utusan Malaysia

11,384 mangsa banjir terjejas, 66,015 petugas digerakkan – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 11,384 mangsa daripada 4,500 keluarga terlibat dalam kejadian banjir di enam negeri yang terjejas.

Perdana Menteri berkata, sehingga pukul 11 malam ini, sebanyak 188 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu 39 di Kelantan, dua di Terengganu, 84 di Pahang, masing-masing sembilan di Melaka dan Negeri Sembilan dan 45 di Selangor.

Menurut beliau, semua bantuan dan aset diuruskan dan digerakkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) negeri dan Pusat dengan secara keseluruhan melibatkan 66,015 petugas pelbagai agensi penguat kuasa.

“Sebanyak 5,731 buah PPS tersedia di seluruh negara boleh menempatkan sehingga 1,628,512 mangsa, manakala 500 sukarelawaan skuad Keluarga Malaysia digerakkan bagi membantu mangsa-mangsa di PPS.

“Sejumlah 521 pangkalan hadapan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tersedia seluruh negara bagi membekalkan keperluan barangan untuk mangsa PPS,” katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan situasi banjir di NADMA, Puchong, dekat sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, mana-mana mangsa yang memerlukan bantuan diminta menghubungi nombor talian hotline Disasater Command Centre (NDCC) melalui 03-80642400 yang mana di pusat ini menempatkan pegawai-pegawai semua agensi terlibat banjir bagi menjawab dan menerima aduan.

Menurut Beliau, keadaan di Selangor agak kelam-kabut sedikit kerana bencana itu berlaku mengejut tidak seperti di negeri-negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu memandangkan musim tengkujuh di kawasan Pantai Timur sudah dilaksanakan persediaan awal.

Bagaimanapun, kata beliau, pihak kerajaan sudah bersedia untuk membantu mangsa banjir di Selangor dengan membuka 45 PPS yang kini menempatkan sejumlah 3,826 mangsa daripada 2,551 keluarga.

Kata beliau, sebanyak 4,053 aset kenderaan dan logistik daripada agensi penguat kuasa digerakkan dengan kekuatan 2,817 anggota.

“Saya baru bercakap dengan Panglima Angkatan Tentera (PAT) supaya menggerakan lebih ramai anggota tentera dan aset bagi membantu perpindahan kerana air naik begitu mendadak dan ada yang masih terperangkap di rumah.

“Saya juga menghubungi Ketua Polis Negara supaya pihak polis digerakkan lebih ramai bantu mangsa terperangkap terutama di Selangor. Saya baca di media sosial, mereka hantar (aduan) terus kepada saya mohon bantuan, ada juga yang sakit dan terperangkap.

“Insya-Allah kita cuba usaha membantu sedaya upaya mana yang belum dan terperangkap kita akan cuba selesai malam ini supaya pindah segera,” katanya.

Beliau turut berkongsi ada mangsa turut terperangkap dalam bas selama lapan jam dan beliau terus memaklumkan kepada pihak bomba supaya segera ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa.

Pada masa sama, beliau meminta semua mangsa banjir agar tidak bimbang kerana kerajaan akan memastikan segala usaha untuk menyelematkan akan dilakukan.

“Saya minta supaya berhati-hati ketika banjir, jaga anak masing-masing kerana air kita tidak tahu sederas mana. Kita juga sedang dapatkan terperinci berapa ramai masih lagi terperangkap untuk hantar bantuan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya