PUTRAJAYA: Seramai 103 penternak di seluruh Pahang dan Negeri Sembilan mengalami kerugian mencecah RM1.5 juta akibat banjir yang melanda kawasan ternakan minggu lalu.
Perkara itu didedahkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee ketika meninjau estet ternakan di Daerah Kuala Langat, Selangor dekat sini semalam.
“Berdasarkan kepada maklumat awal, jumlah yang terjejas melibatkan 55 penternak di Pahang dan baki 48 lagi di jirannya, Negeri Sembilan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Tinjauan beberapa ladang ternakan di Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang itu merupakan siri kedua di Selangor selepas beliau melakukan perkara sama di Kuala Selangor, kelmarin.
Negeri berkenaan merekodkan seramai 160 penternak yang terkesan akibat bencana alam dahsyat itu dengan keseluruhan nilai kerugian dianggarkan mencecah sehingga RM2.1 juta.
Beliau berpeluang ‘turun padang’ melihat sendiri keadaan ladang ternakan lembu dan kambing pedaging diusahakan Shah Rizaini yang kematian 10 ekor ruminan itu ekoran banjir besar.
Pengusaha ini dan penternak lain di kawasan itu diberikan bantuan yang merangkumi barang makanan ternakan dan kit kesihatan diedarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
“Mereka turut terima rumput kering dan garam jilat yang diagih sebagai bantuan kecemasan sementara daripada pihak JPV bagi meringankan beban penternak terbabit,” jelas Ronald.
Sambil melahirkan perasaan simpati, beliau turut sedih melihat keadaan lembu yang lapar ekoran stok makanan musnah selain kebanyakan kandang dan peralatan ladang juga rosak.
Uniknya ujar beliau, badan bukan kerajaan seperti Gerakan Transformasi Ruminan dipimpin Presidennya, Hussain Jaafar turut menggerakkan ahli-ahlinya membantu penternak terjejas.
Organisasi itu bersama pensyarah veterinar Universiti Putra Malaysia dan pelajarnya turut tampil memberikan khidmat rawatan pasca banjir secara percuma kepada haiwan ternakan.
Seterusnya, beliau menyampaikan sumbangan prihatin pihak kementerian kepada tujuh petugas Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) di Kuala Langat. “Kumpulan ini antara sebahagian 100 staf MARDI yang terkesan, bahkan secara keseluruhan direkodkan ada 670 warga kementerian yang terlibat di seluruh negara,” tambah beliau lagi.
Ronald memberi jaminan bahawa pihak JPV akan terus membantu penternak yang terjejas dalam isu penjagaan kebajikan, keselamatan dan kesihatan haiwan setelah diselamatkan.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pasukan JPV Selangor yang bekerjasama dalam membantu ‘Wira Agro’ memindahkan ternakan ketika banjir minggu lepas.
Turut hadir ialah Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr. Norlizan Mohd. Noor. -UTUSAN ONLINE