Waris pencarum Perkeso meninggal dunia akibat Covid-19 terima pencen penakat - Utusan Malaysia

Waris pencarum Perkeso meninggal dunia akibat Covid-19 terima pencen penakat

FUAD Alias (tiga dari kiri) dan Md. Fiah (tengah) menyampaikan faedah pencen penakat kepada empat wakil keluarga orang berinsurans yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Pejabat Perkeso di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sejumlah RM203,803 bayaran pencen penakat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melibatkan 156 kes telah dibayar kepada waris pencarum yang telah meninggal dunia akibat Covid-19 di Negeri Sembilan sehingga 10 November lalu.

Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Fuad Alias berkata, kesemua waris layak menerima pencen penakat setiap bulan di bawah Skim Keilatan Perkeso yang memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja daripada keilatan atau kematian akibat daripada sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

“Setiap pampasan bergantung kepada gaji dan jumlah caruman orang berinsurans kepada Perkeso. Pencen Penakat itu akan dibayar secara bulanan kepada suami atau isteri dan anak terakhir sehingga berusia 21 tahun atau selepas habis pengajian Ijazah Sarjana Muda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan faedah pencen penakat kepada empat keluarga orang berinsurans yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Pejabat Perkeso di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Md. Fiah Md. Jamin.

Menurut Fuad, Perkeso telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan bagi mengenal pasti kes kematian ibu bapa dan penjaga pelajar sekolah di seluruh Negeri Sembilan akibat pandemik tersebut. 

“Hasil maklumat yang diterima, terdapat 212 orang nama yang telah dikemukakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan daripada jumlah itu 111 orang layak menerima faedah pencen penakat.

“Setakat hari ini, seramai 95 orang telah dibayar manakala 16 orang masih dalam proses dan tindakan,” katanya.

Jelas Fuad, selain itu waris juga akan menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 bagi setiap keluarga dengan keseluruhan RM341,850 telah dibayar sehingga kini di negeri ini.

Sementara itu, Fiah berkata, usaha yang dilakukan oleh pihak Perkeso itu dilihat dapat  memudahkan waris meneruskan kehidupan terutama pendidikan anak-anak walaupun setelah kehilangan orang tersayang.

“Perkeso merupakan rakan strategik yang dapat membantu dari segi kebajikan anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19,” katanya.

Bagi seorang penerima faedah, Shahrulnizar Katimon, 47, juruteknik sistem pencegahan kebakaran, beliau menerima faedah pencen penakat setiap bulan setelah kehilangan isterinya, Zainab Ahmad Salikin, 48, pada 7 Ogos lalu.

“Alhamdulillah dengan bantuan pencen penakat Perkeso ini dapat sedikit sebanyak membantu pendidikan anak-anak memandangkan saya mempunyai lima orang anak berusia 12 hingga 20 tahun yang masih belajar.

“Sebelum ini saya dan isteri sama-sama bekerja, mulanya saya tidak tahu tentang faedah pencen penakat ini sehinggalah dihubungi pihak Perkeso memaklumkan menerima maklumat daripada Jabatan Pendidikan negeri,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya