PUTRAJAYA: Ucapan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam bahasa Melayu di persidangan antarabangsa menyerlahkan keunggulan jati diri bahasa ibunda negara sendiri sekali gus mampu mengharumkan nama dan imej negara.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, usaha Menteri Alam Sekitar dan Air itu amat membanggakan negara dan seluruh rakyat Malaysia dalam memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia.
“Yadim merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Tuan Ibrahim atas sikap memartabatkan Bahasa Melayu dalam ucapan yang disampaikan beliau dalam Kenyataan Negara di Persidangan Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow semalam.
“Ucapan beliau di persidangan penting peringkat antarabangsa yang dihadiri majoriti negara luar ini mengharumkan imej dan nama negara yang memiliki keunggulan jati diri dengan bahasa ibunda sendiri disamping mesej utama ucapan dari pihak Malaysia di persada dunia dalam isu alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nasrudin berkata, langkah yang diambil Tuan Ibrahim itu bukanlah sesuatu yang merendahkan taraf, bahkan menonjolkan kemegahan dan jati diri bangsa.
Katanya, ia sepertimana diketahui majoriti pemimpin dunia dalam persidangan itu bertutur dalam bahasa selain bahasa Inggeris.
Beliau menjelaskan, Yadim selaku agensi yang sentiasa menyokong sebarang usaha memartabatkan negara, bangsa dan agama sepertimana tuntutan Islam dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan, menzahirkan kesyukuran kerana ada pemimpin negara Malaysia yang mampu menzahirkan rasa bangga dan cintakan bahasa ibunda serta bertutur di perhimpunan masyarakat dan pemimpin dunia.
“Semoga langkah yang dibuat Tuan Ibrahim akan mencetuskan gelombang cinta dan bangga kepada Bahasa Kebangsaan yang diikuti seluruh rakyat dan pemimpin negara demi negara dan bahasa tercinta,” katanya. -UTUSAN ONLINE