KOTA BHARU: Seorang guru besar bertindak memfailkan saman sebanyak RM500,000 terhadap bekas Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolahnya yang didakwa memfitnah beliau.
Suzana Adzmin@Azmin, 48, guru besar sebuah sekolah rendah di Wakaf Bharu, Tumpat selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap defendan, Abd. Rahim Hussin, 56, melalui Tetuan Alias Ibrahim & Co pada 13 November lalu.
Menurut Suzana, tindakan saman dibuat selepas defendan dipercayai antara individu terlibat menaikkan tiga kain rentang memfitnah dirinya di sekitar Wakaf Bharu pada 25 Jun, 3 Julai dan 22 Ogos lalu.
Kain rentang itu tertera mesej menyatakan plaintif seorang guru besar yang menghasut orang, pilih kasih, memutar belit fakta, menyalah guna wang sekolah dan mendesak supaya wanita itu ditukarkan ke sekolah lain.
Tegas Suzana, tuduhan itu berniat jahat, malah, Jabatan Pendidikan negeri sendiri telah melakukan siasatan dan beliau didapati tidak terlibat dengan sebarang kes salah laku atau salah guna kuasa sebagaimana didakwa.
“Sebelum kejadian ini, saya pernah menegur ahli jawatankuasa PIBG berkaitan pengurusan dalam mesyuarat. Mungkin itu menjadi motif YDP PIBG menaikkan kain rentang fitnah ditujukan kepada saya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Suzana, ekoran fitnah dilemparkan itu, beliau telah ‘dibekukan’ khidmat selama 86 hari di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat sehingga tidak dapat melaksanakan tugas sebagai guru besar seperti biasa.
Katanya, keadaan itu menyebabkan dirinya malu berdepan masyarakat, malah ada dalam kalangan rakan-rakan mengelak bersemuka dengannya kerana percaya pada fitnah yang telah dilemparkan.
“Kejadian itu menjadikan emosi saya tidak stabil malah pakar psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian mengesahkan saya mengalami tekanan perasaan melampau.
“Sekarang, saya telah ditukarkan ke sekolah lain di daerah sama bermula Ahad ini. Keadaan itu amat mengelirukan kerana saya belum sempat menabur bakti di sekolah asal akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan,” katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, saman RM500,000 difailkan terhadap defendan bertujuan membersihkan semula nama, sebagai ganti rugi teladan serta segala kesan buruk dialaminya akibat fitnah disebarkan.
Sementara itu, peguam Alias Ibrahim berkata, anak guamnya mempunyai bukti kukuh dan mencukupi untuk membawa kes tersebut ke mahkamah dan perlu didedahkan kepada masyarakat sebagai pengajaran serta tidak berulang kepada orang lain.
Dalam pada itu, pegawai di JPN Kelantan ketika dihubungi Utusan Malaysia enggan mengulas lanjut sekadar berkata saman difailkan plaintif terhadap defendan dalam kes tersebut bersifat peribadi dan tiada kena mengena dengan JPN. – UTUSAN ONLINE