KLANG: Sebuah syarikat pembuatan baja di Pelabuhan Klang didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Klang di sini selepas mengaku bersalah mengabaikan aspek keselamatan pekerjaan sehingga menyebabkan seorang pekerjanya maut pada Februari 2019.
Syarikat Sinergi Perdana Sdn Bhd (Sinergi Perdana) sebagai orang kena saman (OKS) diwakili Pengurus Undang-Undang dan Korporatnya, Siti Fairuz Kamis membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan di hadapan Hakim Razali Ariffin.
Hakim turut menetapkan penjara selama 12 bulan jika OKS gagal membayar denda itu.
Syarikat konsortium milik Felcra Berhad (Felcra) dan Lembaga Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (Risda) itu didakwa tidak menyediakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan untuk menjalankan aktiviti kerja kimpalan pada tapak motor elektrik granulator chute sehingga menyebabkan kemalangan maut kepada pekerjanya, Jafri Jamaluddin,41.
Kesalahan itu dilakukan di bahagian pengeluaran ‘Section 2’ dalam kilang syarikat berkenaan di Lebuh Sultan Mohamed 1, Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang pada pukul 4.50 petang 19 Februari 2019.
Justeru, syarikat itu boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 sekiranya disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 15(2)(c) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama.
Terdahulu dalam prosiding tersebut, OKS merayu hukuman diringankan kerana Sinergi Perdana baru setahun beroperasi ketika insiden terbabit berlaku dan kesalahan itu adalah kali pertama.
“Ketika kejadian, syarikat kami baru setahun beroperasi. Namun selepas insiden berkenaan, perhatian segera dan langkah penambahbaikan telah pun diambil termasuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang sistematik.
“Selain itu, syarikat juga mengamalkan budaya kerja selamat dan memastikan pekerja mematuhi peraturan keselamatan,” katanya.
Namun, pihak pendakwaan yang diwakili pegawai pendakwa, Mohd. Nizam Teh Kamaruddin dan Jamaludin Harun meminta hukuman berat mengikut Trend of Sentencing dijatuhkan kerana kesalahan dilakukan syarikat itu melibatkan kehilangan nyawa.
“Faktor kepentingan awam, kecuaian majikan, kehilangan nyawa pekerja, faktor pengajaran kepada majikan,” jelasnya. – UTUSAN