Sungai Tebrau dicemari sampah - Utusan Malaysia

Sungai Tebrau dicemari sampah

FAIZAL Daud menunjukkan sampah yang mengotori sepanjang Sungai Tebrau di Bakar Batu, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemandangan Sungai Tebrau di Bakar Batu, di sini dicemari dengan sampah sarap yang mengotori sepanjang lembangan sungai tersebut setiap kali fenomena air pasang berlaku.

Amat menyedihkan apabila keadaan itu tidak mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan, malah, tiada langkah-langkah membersihkan sungai tersebut selain para nelayan sendiri yang bergotong-royong membuang sampah-sampah berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di sungai tersebut baru-baru ini mendapati, bukan sekadar plastik, botol minuman dan pelbagai lain boleh dilihat, malah peti sejuk juga berada di sepanjang Sungai Tebrau sehingga ke Hotel Bayu Marina.

Malah, ketika ini sungai berkenaan juga dijadikan tempat latihan sukan berkayak bagi pasukan Sukma Johor yang sedang bersedia untuk menyertai kejohanan.

Seorang penduduk, Razak Abd. Majid, 62, melahirkan perasaan sedih apabila melihat sampah sarap yang memenuhi sepanjang sungai tersebut setiap kali air pasang.

Menurutnya, dia yang selalu berkunjung di tebing sungai tersebut berasa hampa dan kecewa apabila melihat permukaan air yang amat kotor.

“Setiap kali air pasang keadaan inilah yang berlaku, sampah sarap mengotori dengan banyak sehingga menyeksakan mata siapapun yang melihatnya.

“Sepatutnya pihak yang bertanggungjawab mesti menjalankan kerja-kerja pembersihan setiap hari atau sekurang-kurang seminggu sekali untuk mengangkat sampah yang mengotori di celah pokok-pokok bakau yang berada di tepi sungai,” katanya di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Faizal Daud, 46, turut kesal dengan keadaan sungai yang penuh dengan sampah sarap.

Dia yang turut mengutip kayu-kayu hanyut untuk dijadikan perabot di sungai tersebut sedih melihat keadaan sungai yang kotor dan mencemarkan alam sekitar.

“Saya berharap pihak kontraktor yang dilantik untuk membersihkan sungai ini dapat bertindak segera dan jangan sampai sungai ini dijadikan tempat pembuangan sampah,” ujarnya.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau mana-mana agensi yang berkaitan perlu berganding bahu untuk bekerjasama membersihkan sungai terbabit pada setiap masa.
Sementara itu, Faizal turut berharap agar kawasan persisiran Sungai Tebrau dijadikan kawasan riadah untuk orang ramai berkunjung.

“Saya lihat kawasan ini ada potensi untuk dijadikan kawasan rekreasi sekiranya ada pihak yang sanggup membangunkan persisiran sungai ini,” katanya.

Pada Mac 2017, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang pernah mencemar duli membuat lawatan mengejut di Sungai Tebrau menzahirkan rasa kesal dengan pembuangan sampah dan pencemaran yang berlaku di sepanjang kawasan itu.

Dalam video berdurasi satu minit dalam akaun Instagram rasmi Sultan Ibrahim menyaksikan Baginda bersama Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman, berkenan membuat lawatan mengejut menggunakan bot khas di sepanjang sungai berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah mengarahkan kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang membuang sampah dan mencemarkan sungai untuk mengelak berlakunya bencana banjir. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya