Sejuta masjid ASEAN diseru kibar bendera Palestin 29 November ini - Utusan Malaysia

Sejuta masjid ASEAN diseru kibar bendera Palestin 29 November ini

MOHD. AZMI ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sejuta masjid di seluruh Asia Tenggara atau negara ASEAN diseru mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda sokongan terhadap Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin yang akan disambut pada 29 November ini.

Seruan berkenaan adalah sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin yang masih belum mencapai hak mereka termasuk kemerdekaan dan kedaulatan negara sendiri.

Justeru, semua imam yang memimpin masjid di rantau ASEAN diseru untuk menterjemahkan solidariti mereka dengan mengibarkan bendera Palestin di hadapan masjid masing-masing sebagai simbol perpaduan dengan Palestin.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid memberitahu, Mapim sebagai Penyelaras Gabungan Rakyat ASEAN untuk Palestin akan menganjurkan sambutan hari tersebut.

“Kita perlu mengingatkan pemimpin dunia bahawa lebih lapan juta rakyat Palestin tinggal di wilayah Palestin yang diduduki oleh Israel. Wilayah ini diduduki sejak perang enam hari pada tahun 1967.

“Wilayah yang diduduki terdiri daripada Baitulmuqaddis Timur di Israel, negara Arab jiran, dan kem pelarian.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan mengiktiraf tarikh 29 November sebagai mesej kepada penempatan tentera Israel di Palestin bahawa perjuangan rakyat negara itu adalah sah dan disokong kebanyakan negara di seluruh dunia.

“Hak kedaulatan untuk rakyat Palestin menuntut semula tanah mereka mesti disokong oleh komuniti antarabangsa. Sokongan ini tidak boleh sekadar ungkapan moral, bahkan tuntutan undang-undang bahawa pencerobohan Israel mesti ditamatkan,” tegasnya.

Selain itu, Mohd. Azmi juga menggesa agar khutbah Jumaat khas di semua masjid di Asean dibacakan untuk mendidik dan menyedarkan setiap umat Islam tentang tanggungjawab mereka untuk menyokong pembebasan Palestin, khususnya Baitul Maqdis dan masjid Al Aqsa.

“Kami juga menggesa kerajaan Malaysia untuk meraikan hari ini dengan acara khas untuk menyeru rakyat Malaysia dan pemimpin dunia untuk bersama-sama dengan rakyat Palestin dalam perjuangan mereka menentang penjajahan Israel,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya