SEREMBAN: Kerajaan digesa membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Gangguan Seksual (AGS) dalam sidang Dewan Rakyat dengan kadar segera bagi melindungi golongan wanita di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, selain itu, terdapat juga keperluan untuk kerajaan menyediakan peruntukan undang-undang bagi mengklasifikasikan perbuatan menghendap sebagai satu kesalahan jenayah.
Menurutnya, kebiasaannya bagi kedua-dua perbuatan berkenaan, majoriti mangsanya adalah terdiri daripada golongan wanita dan turut tidak terkecuali pelajar perempuan di bangku sekolah.
“Jadi, saya harap lebih banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan golongan wanita, yang akan bersama-sama menggesa kerajaan menyegerakan pembentangan RUU mengenai gangguan seksual ini termasuk menyertakan sekali perbuatan menghendap sebagai satu kesalahan jenayah yang boleh diberikan hukuman setimpal kepada pelakunya.
“Saya ambil contoh di Jepun dan negara jiran iaitu Singapura telah terlebih dahulu mengklasifikasikan perbuatan menghendap sebagai satu kesalahan jenayah serta menjadikan golongan wanita lebih dilindungi,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Program Training for Trainers Skuad Waja Peringkat Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Pada program anjuran Persatuan Usahanita Tampin dan Jabatan Pembangunan Wanita itu, seramai 50 peserta berusia 30 hingga 60 tahun telah menyertainya.
Pada 12 September lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, draf RUU AGS telah mula digubal secara kolektif melalui satu pasukan projek khas dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Sementara itu, Nicole menambah, RUU berkenaan sepatutnya telah dibentang pada bulan Mac lalu, namun kemudiannya ditangguhkan kepada penghujung tahun ini.
“Terdapat keperluan untuk mempercepatkan pembentangan RUU berkenaan terutamanya bagi memastikan lebih banyak lokasi termasuk di tempat awam dapat dikuatkuasakan undang-undang tersebut. Di tempat kerja memang sudah ada tetapi di tempat awam, ia masih memerlukan RUU yang jelas.
“Selain penyediaan RUU yang lebih jelas, saya harap golongan wanita juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan supaya dapat melindungi diri sendiri sekiranya berhadapan dengan gangguan seksual,” katanya. -UTUSAN ONLINE