'Saya jadi individu pertama menentang kehadiran atlet Israel'- Peja - Utusan Malaysia

‘Saya jadi individu pertama menentang kehadiran atlet Israel’- Peja

AHMAD Faizal Azumu, mencuba peralatan tinju ketika mengadakan lawatan dan merasmikan Kompleks MSN Nilai di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Malaysia tidak melakukan sebarang diskriminasi terhadap atlet daripada Israel dalam isu penolakan pemberian visa kepada pemain skuasy dari negara itu bagi menyertai Kejohanan Berpasukan Dunia Lelaki yang dijadual diadakan di Kuala Lumpur bulan depan.

Sebaliknya, tegas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Malaysia seperti diketahui tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel dan setiap kali kejohanan antarabangsa dianjurkan di negara ini, pihak Jabatan Imigresen sememangnya tidak membenarkan kemasukan atlet negara terbabit.

“Satu dunia tahu bahawa negara kita tiada hubungan diplomatik dengan Israel dan tidak benarkan mereka untuk ambil apa-apa bahagian dalam apa juga perkara di negara ini. Apabila kita anjurkan sukan-sukan antarabangsa, pihak Jabatan Imigresen tidak benarkan atlet-atlet ini untuk masuk.

“Apabila persekutuan antarabangsa meletakkan Malaysia sebagai tuan rumah kepada kejohanan antarabangsa, mereka juga patut maklum kita tidak benarkan atlet dari Israel untuk mengambil bahagian.

“Saya fikir amat malang sekali jika kita dituduh untuk bertindak diskriminasi dan sebagainya, tetapi, sebenarnya kalau (melihat) politik dunia, Israel mendiskriminasi rakyat Palestin dan juga mendominasi dunia secara proksi, itu yang patut kita tentang,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Nilai di Seremban hari ini.

Tindakan tegas Malaysia menolak untuk memberikan visa kepada pemain skuasy Israel itu sebelum menerima kecaman pelbagai pihak di negara itu.

Persatuan Skuasy Israel dilaporkan merancang untuk membuat aduan berhubung perkara tersebut kepada Mahkamah Sukan di Switzerland jika Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) tidak dapat menyelesaikan isu tersebut.

Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia bagi lelaki itu dijangka berlangsung di Kuala Lumpur dari 7 hingga 12 Disember dengan dengan 26 regu bakal mengambil bahagian.

Bagaimanapun, menurut laporan media antarabangsa hari ini, WSF memutuskan untuk membatalkan kejohanan berkenaan kerana kemungkinan beberapa negara tidak dapat bertanding atas masalah visa selain turut dipengaruhi oleh varian Omicron yang sedang menular.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, sebagai individu yang pernah ditahan pihak berkuasa Israel menerusi Misi Kemanusiaan Freedom Flotilla pada 2010, tentunya beliau akan menjadi individu pertama menentang sekiranya ada atlet Israel yang memasuki negara ini.

“Saya sendiri pada tahun 2010 dalam misi Freedom Flotilla, ditangkap dan dipenjarakan dalam penjara Isreal. Kalau mahu benarkan atlet daripada Israel jejak kaki di sini, saya fikir, saya orang yang pertama akan menentang,” tegasnya lagi. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya