Rokok seludup RM3.3 juta dirampas - Utusan Malaysia

Rokok seludup RM3.3 juta dirampas

MOHD YUSRI Hassan Basri (depan, tengah) bersama Zaiham (depan, kiri) menunjukkan antara rokok seludup bernilai RM3.3 juta yang dirampas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di Bentong, Pahang, hari ini. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Seorang pemandu lori yang diupah RM1,500 untuk membawa rokok seludup dari Kemaman, Terengganu diberkas polis di Lebuh Raya Karak di sini ketika dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur. 

Lori lima tan tersebut ditahan di Kilometer 55.2 dan pemeriksaan menemukan 333 kotak besar rokok disyaki tidak dibayar cukai kastam bernilai RM3.3 juta. 

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, polis menahan pemandu lori berusia 43 tahun dan rakannya berusia 30 tahun yang memandu sebuah kereta serta menyita kedua-dua kenderaan berkenaan.

“Hasil soal siasat mendapati pemandu lori itu mengambil upah RM1,500 dan suspek memberitahu lori itu akan ditinggalkan di deretan kedai di satu lokasi dengan kunci diletakkan di bahagian tayar.

“Pemandu lori itu mendakwa tidak mengenali dalang dalam sindiket ini dan siasatan masih giat dilakukan yang mana kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 23 November ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar. 

Menurut Mohd. Yusri rampasan rokok bernilai RM3.3 juta itu merupakan rampasan terbesar rokok tidak berbayar cukai bagi polis kontinjen Pahang tahun ini dan nilai rampasan dan sitaan dianggarkan bernilai RM3.5 juta.

Dalam pada itu beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 23 November ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.

Menurutnya, berdasarkan rekod kedua-dua suspek didapati baru kali pertama menyeludup rokok dari Terengganu untuk dihantar ke Kuala Lumpur dan suspek yang merupakan penganggur  tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif dan pihak polis sedang giat berusaha untuk mengesan pemilik lori berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya