JOHOR BAHRU: Seorang remaja yang didapati negatif ketika menjalani ujian saringan Covid-19 di Singapura dikesan positif di pintu masuk Malaysia pada hari pertama Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Darat antara Malaysia-Singapura, di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata, kes positif Covid-19 pertama itu dikesan dalam rombongan kumpulan pertama yang membawa pengembara dari Kota Singa itu.
Beliau berkata, ujian pengesanan pantas (RTK-Antigen) On Arrival Test (OAT) Covid-19 yang dijalankan di balai ketibaan di Terminal Larkin Sentral menunjukkan keputusan positif.
“Lelaki itu tiba di Larkin Sentral setelah menaiki bas pertama bersama 45 lagi penumpang lain pada pukul 9.10 pagi dari Terminal Queen Street, Singapura.
“Apabila keputusan ujian saringan itu keluar, lelaki berkenaan terus diasingkan dan kini sedang dikuarantin Kementerian Kesihatan bagi menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).
“Pengesanan kes ini membuktikan sistem VTL darat yang dilaksanakan adalah berkesan. Individu yang positif terus diasing dan dikuarantin sekali gus tidak dibenarkan keluar dari tempat pemeriksaan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pergerakan laluan VTL Darat, di terminal bas berkenaan, hari ini.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, satu kes positif Covid-19 dikesan di pintu masuk Malaysia pada hari pertama VTL darat antara Malaysia dan Singapura.
Katanya, kes positif dikesan setakat ini diharapkan tidak menjadi penghalang hasrat kerajaan negeri supaya VTL darat Malaysia-Singapura berjalan lancar seterusnya bilangan kuota harian seramai 1,440 dapat ditingkatkan nanti.
“Jika VTL darat Malaysia-Singapura berjalan lancar, sudah pasti kerajaan Johor akan memohon supaya jumlah kuota harian ditingkatkan. Kita tak ganggap satu kes positif yang dikesan sebagai halangan untuk kejayaan skim ini bahkan sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan berlaku mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
“Namun, langkah berhati-hati dan penuh berwaspada akan sentiasa dilaksanakan dengan nasihat Kementerian Kesihatan bagi memastikan risiko penularan wabak dapat ditangani dengan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, Solihan berkata, sehingga tengah hari tadi, sebanyak 12 bas yang membawa 350 penumpang telah tiba dari Singapura menerusi VTL darat. -UTUSAN ONLINE