TEMERLOH: Reka bentuk rumah bertiang perlu dijadikan contoh dalam pembinaan kediaman yang terletak di tepi sungai, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda bertitah, reka bentuk rumah bertiang merupakan salah satu langkah keselamatan yang signifikan sekiranya berlaku musibah banjir.
“Mudah-mudahan, musim banjir ini akan terselamatlah, kita harap tidak ada banjir.
“Saya (Beta) harap, mana-mana rumah yang dibina di tepi Sungai Pahang ini harus mengambil kira ketinggian, saya harap ini dapat jadi satu contoh pada rumah-rumah yang terdapat di Sungai Pahang,” titah baginda.
Seri Paduka bertitah demikian selepas mendengar sembah taklimat pada majlis penyerahan kunci rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Kampung Lompat di sini hari ini.
Turut mengiringi, anakanda baginda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Seri Paduka kemudiannya meluangkan masa mencemar duli beramah mesra dengan penerima rumah bertiang yang mempunyai tiga bilik tidur yang dilengkapi perabot itu.
Sementara itu seorang ibu tunggal, Siti Rokiah Zainal Abidin, 51, berkata, dia yang tinggal bersama emaknya tidak menjangka akan menerima kurniaan sebegini setelah rumah pusaka mereka rosak teruk dilanda banjir, awal tahun lalu.
“Kami sekeluarga memang gembira atas kurniaan ke bawah duli tuanku kepada kami sekeluarga, memang terharu lah kerana dulu rumah kami selepas banjir senget dan hendak roboh.
“Emak sayalah orang yang paling gembira hari ini kerana dia memang tidak sangka dalam umurnya macam ini akan terima kurniaan kediaman yang sangat selesa,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE