JOHOR BAHRU: Baju sekolah sendat ekoran sesi persekolahan tidak dibuka sejak Jun lalu antara situasi dilalui ibu bapa ketika mula menghantar anak-anak ke sekolah, semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Angkatan Tentera di sini mendapati, ibu bapa menghantar anak ke sekolah seawal pukul 6.45 pagi yang disambut guru dengan memberikan pelitup muka percuma.
Rata-rata murid begitu teruja untuk memulakan sesi persekolahan bagi kemasukan murid tahap satu (tahun 1,2 dan 3), hari ini.
Bagi peniaga, Ishak Mohd. Elah, 43, dia berasa berdebar dan risau menghantar anak ketiganya, Danish Daniel Ishak, 9, ke sekolah memandangkan penularan pandemik Covid-19 masih ada.
Namun, dia yakin pihak sekolah sudah bersedia dengan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak itu di kawasan sekolah.
“Anak memang bersemangat nak bersekolah, pagi tadi pun dia bangun awal sebab teruja ke sekolah. Sebelum ini pun dia banyak kali tanya bila dia boleh kembali ke sekolah.
“Cumanya, baju sekolah dia sendat kerana badan sudah naik sejak duduk di rumah sahaja disebabkan pandemik.
“Sebelum mula sekolah ini, memang saya sudah banyak kali berpesan supaya jangan rapat sangat dengan rakan-rakan. Sentiasa pakai pelitup muka dan jaga jarak,” katanya ketika ditemui.
Bagi usahawan, Raden Siti Nur Shuhadah Naharudin, 30, berkata, walaupun terdapat kebimbangan, namun gembira anak-anaknya, Harris Hayden Ibrahim, 8 dan Emmel Rayqarl Ibrahim, 7 sudah bersekolah semula.
Katanya sejak sekolah ditangguhkan, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hanya berkesan 50 peratus sahaja.
“Banyak halangan untuk PdPR terutamanya buat ibu bapa yang bekerja. Tapi alhamdulillah, sesi persekolahan sudah bermula dan saya lebih yakin dengan sistem penggiliran yang diamalkan bagi sesi persekolahan ini,” katanya.
Bagi kerani, Nurul Azura Misran, 41, anaknya, Reezuan Fikri Al-Imran, 6, cukup teruja untuk kembali menyarung uniform sekolah dan bertemu dengan rakan sekelasnya.
Katanya, dia sentiasa mengingatkan anaknya supaya menjaga penjarakan fizikal dengan rakan dan maklumkan kepada guru sekiranya ada di antara mereka mempunyai simptom seperti batuk.
Seramai 150 pelajar hadir di SK Angkatan Tentera pada hari dengan catatan 85 peratus kehadiran pada hari pertama persekolahan.
Pengoperasian sekolah hari ini bagi negeri Johor dan Terengganu membabitkan kemasukan bagi murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 sekolah menengah. -UTUSAN