Putra tanding lima kerusi DUN Melaka - Utusan Malaysia

Putra tanding lima kerusi DUN Melaka

(DARI KIRI) Mohd. Aluwi Sari, Mohamad Hashidi Mohd. Zin, Nazatul Asyraf Md. Dom, Laila Norinda Maon dan Mohd. Faizal Amzah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengesahkan akan bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (Melaka) pada 20 November ini.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, DUN yang ditandingi ialah kerusi Pengkalan Batu, Duyong, Gadek, Sungai Rambai dan Paya Rumput.

Jelas beliau, pada awalnya Biro Politik Putra memutuskan untuk bertanding di 13 DUN, tetapi selepas mengambil kira usia parti yang masih baharu selain pembubaran DUN dan PRN dibuat secara mengejut, hanya lima sahaja yang dipilih.

“Masa yang singkat menyukarkan persiapan parti untuk bertanding lebih banyak kerusi. Putra tidak meletakkan harapan pada PRN kali ini kerana perjuangan ini ibarat ‘mendaki’ Gunung Everest.

“Parti ini hanya tampil sebagai pilihan alternatif kepada rakyat selain parti dalam blok-blok gergasi seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam sidang akhbar penyerahan watikah calon secara  dalam talian.

Hadir sama Timbalan Presiden Putra, Tan Sri Mohd. Khalid Mohd. Yunus.

Lima calon yang mewakili Putra ialah Dr. Mohd. Aluwi Sari  di Pengkalan Batu; Mohamad Hashidi Mohd. Zin (Paya Rumput); Nazatul Asyraf Md. Dom (Sungai Rambai); Laila Norinda Maon (Gadek) dan Mohd. Faizal Amzah (Duyong).

Tambah Ibrahim, beliau optimis Putra akan menjadi pilihan kepada rakyat Melaka kerana kecewa dengan sikap pemimpin dan ahli politik terdahulu yang gagal menyelesaikan masalah rakyat.

Bagaimanapun, katanya, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada PRN Melaka seperti tidak dibenarkan berkempen dan ceramah politik menyukarkan Putra untuk mendekati pengundi berbanding parti-parti besar.

“Putra bergantung kepada tsunami politik rakyat yang kecewa dan  berharap mereka mengalihkan kepada parti yang baharu dua tahun setengah ditubuhkan.

“Insya-Allah keputusan boleh mengejutkan. Kita hanya mampu merancang dan berserah,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya