Pusat perlu berani ambil langkah henti premis judi seperti Kedah - Utusan Malaysia

Pusat perlu berani ambil langkah henti premis judi seperti Kedah

MOHAMAD FAWWAZ MOHAMAD JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang berharap Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri,  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memiliki keberanian dan keazaman politik untuk mengambil langkah sama seperti Kerajaan Negeri Kedah menghentikan lesen baharu premis judi. 

Ketuanya, Mohamad Fawwaz Mohamad Jan berkata, kantung pendapatan kerajaan dan negara mesti disucikan daripada sumber judi dan arak dan lesen berkaitan mesti ditamatkan dan dihapuskan. 

“Kita percaya cita-cita murni mewujudkan Keluarga Malaysia hanya akan dapat direalisasikan antaranya dengan menghapus punca penyebab kepada masalah-masalah masyarakat. 

“Lebih banyak duri dibuang di jalanan, akan lebih laju kita semua dapat melangkah dan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Mohamad Fawwaz berharap Kerajaan Negeri Kedah tidak melayan pihak yang menentang langkah menghentikan lesen baharu premis judi terbabit khususnya pihak yang cuba memanaskan isu itu dengan menjebaknya ke kancah perkauman dan politik sempit. 

Ini kerana katanya, tindakan Kedah itu adalah usaha besar dalam menyelesaikan kemelut, masalah dan penyakit sosial serta rantaian jenayah dalam kalangan manusia dan negara.

“Setidak-tidaknya di sebalik aktiviti judi dan arak yang dilesenkan wujud lebih banyak perjudian dan arak secara haram dengan terselindung pelbagai masalah dan jenayah lain. 

“Oleh itu, langkah Kerajaan Negeri Kedah adalah usaha mengekang dan membendung kebejatan telah sedia membarah,” katanya. 

Dalam masa sama tambah beliau, pihaknya berharap segala tentangan dan kritikan ekoran keputusan itu tidak dirasakan Kerajaaj Negeri Kedah bersendirian. 

“Kita yakin majoriti rakyat yang waras menyokong penuh keputusan tersebut demi melihat kehidupan rakyat lebih baik dan negara ini aman dari belenggu judi dan arak,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya