LANGKAWI: Projek pembinaan pangsapuri mewah di Tanjung Mali, Jalan Pantai Chenang di sini didakwa tidak menjejaskan kawasan dikenali ‘dropstone’ atau batu jatuh yang merupakan tapak geowarisan berusia 500 juta tahun di pulau peranginan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, semakan pihaknya mendapati kawasan projek tersebut terletak di luar kawasan batu jatuh yang menjadi salah satu ciri keunikan di sini.
Bagaimanapun, menurutnya, LADA mengarahkan pihak Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) yang meluluskan projek itu dapat memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan kawasan batu jatuh berdekatan.
“LADA mengambil maklum berkenaan kemungkinan kawasan batu jatuh itu terjejas dengan pembangunan pangsapuri mewah itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gambar yang menunjukkan sebuah bukit dibersihkan untuk pembinaan pangsapuri mewah di Tanjung Mali di sini oleh seorang pengguna Facebook semalam.
Pengguna Facebook itu mendakwa tapak pembangunan tersebut terletak di kawasan batu jatuh yang merupakan tapak geowarisan terpenting dan perlu dipelihara daripada sebarang kemusnahan oleh manusia .
Batu jatuh tersebut merupakan salah satu ciri unik geotapak pulau lagenda itu yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Batu jatuh di Tanjung Mali terbentuk daripada pencairan dasar bongkah glasier yang terapung di laut sehingga menjatuhkan batu tersebut atau dropstone ke lapisan lumpur di dasar lautan.
Pulau Langkawi telah diiktiraf sebagai global geopark oleh UNESCO pada tahun 2007.
Tapak pembinaan pangsapuri itu juga terletak tidak jauh dari Pantai Chenang di sini yang merupakan antara kawasan tumpuan pelancong.
Nasaruddin memberitahu, beliau difahamkan projek pangsapuri mewah setinggi 40 tingkat yang dibangunkan oleh Tropicana Corporation Berhad itu masih belum bermula.
“Setakat ini, hanya kerja-kerja tanah dan pengambilan batu yang baru dimulakan di tapak pembangunan itu,” katanya. -UTUSAN ONLINE