KUANTAN: Barisan Nasional (BN) tidak perlu gentar menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini walaupun bertanding tanpa membabitkan kerjasama Muafakat Nasional (MN) dengan Pas yang telah pun membuat keputusan bertanding menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN).
Ia bermakna, pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan pada PRN Melaka iaitu antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan juga Pakatan Harapan (PH).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, UMNO dalam PRN Melaka tidak bergerak solo sebaliknya masih dalam gabungan BN bersama MIC dan juga MCA.
Jelasnya, PRN Melaka akan memberi peluang kepada rakyat negeri itu membuat pilihan kerajaan negeri baru yang mereka mahukan, selain ia akan menjadi medan ujian bagi parti-parti yang bertanding mempertaruhkan nasib mereka.
“PRN Melaka akan menjadi platform bagi setiap parti bertanding menilai kekuatan dan penerimaan rakyat bukan saja untuk membentuk kerajaan baru di Melaka, malah sebagai ujian awal bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
“Keputusan PRU-14 di Melaka menyaksikan UMNO menang 13 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). PH meraih 15 kerusi menerusi DAP (lapan), PKR (tiga), Parti Amanah Negara (Amanah) (dua) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang dua kerusi.
“Bersatu pada PRU-14 bertanding enam kerusi, cuma menang di Paya Rumput dan Telok Mas. Bersatu tewas di Ayer Limau, Lendu, Asahan dan Sungai Rambai. Pas bertanding 22 kerusi, kalah semuanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Sharkar dalam pada itu berkata, biarpun dalam keadaan negara masih berdepan wabak pandemik Covid-19, PRN Melaka tidak dapat dielakkan.
“Jadi, bertandinglah secara sihat dan apa yang penting patuh segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Ambil iktibar dari PRN Sabah 28 September 2020, semoga PRN Melaka menjadi contoh dan platform terbaik sebelum negara berdepan gelombang yang lebih besar iaitu PRU-15,” katanya. -UTUSAN