PADANG BESAR: Keistimewaan serta keunikan Perlis yang memiliki bukti arkeologi dan kaya dengan formasi gua batu kapur mampu menarik pakar-pakar geologi serta penyelidik yang berminat tentang tamadun awal manusia untuk datang membuat kajian di negeri ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelbagai lagi fosil unik dipercayai boleh diteroka di Perlis di mana banyak kajian mendalam boleh dilakukan bagi memahami tentang manusia zaman prasejarah di negeri ini.
Terdahulu, baginda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat melawat lokasi penemuan fosil tulang dan tengkorak prasejarah di Bukit Keteri di sini hari ini.
Baginda berdua yang diiringi anakanda Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail telah disambut oleh Pengarah Jabatan Warisan Negara zon Utara, Ardi Asmera Saeman.
Taklimat mengenai penemuan itu dipersembahkan oleh Kurator Bahagian Arkeologi, Jabatan Warisan Negara Bahagian Utara, Muhammad Tarmizi Husni.
Turut hadir, Pengerusi Jawatan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Asmaiza Ahmad.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, penemuan fosil-fosil tulang seperti tengkorak manusia, haiwan prasejarah, fosil cenkerang laut dan lukisan gua zaman proto sejarah di sekitar Bukit Keteri dan Semadong yang dipercayai berusia antara 5,000 hingga 10,000 tahun.
Aktivis alam sekitar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Perlis Nature and Wildlife (PNW) bersama Persatuan Mendaki Negeri Perlis (Perlis Climbers) giat meneroka alam semula jadi sekitar Perlis sejak penemuan pertama pada 2018 yang lalu.
Eksplorasi bersama Jawatan Warisan Negara itu mula dilakukan pada Julai tahun lalu.
Sementara itu, baginda berdua diiringi Asmaiza dan Penolong Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi negeri, Mohd Rusfaizal Mohd Radzi turut meluangkan masa melawat kawasan memanjat dinding batu di Bukit Keteri di sini.
Malah, baginda sendiri dalam tahun 2007 pernah menerima Mammut Pro Team dari Switzerland diketuai oleh jagoan dunia, David Lama dan rakan-rakan untuk membuat 53 laluan pada ketika itu bagi melihat aktiviti terkini yang dijalankan oleh pasukan Perlis Climbers.
Dalam pada itu, baginda berdua juga mengambil peluang singgah di Kampung Perawah Datuk Kayaman yang mana didapati mempunyai tarikan pelancongan menarik untuk diketengahkan termasuklah bengkel batik Inderawasih dan koleksi barang-barang lama milik peribadi salah seorang masyarakat setempat.
Kawasan tersebut juga sudah mempunyai beberapa buah inap desa, nurseri pokok dan bunga, aktiviti berkayak, Gua Ngulang serta kedai makan yang sedang dalam pembinaan sekali gus mampu merancakkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi di situ. -UTUSAN ONLINE