Penduduk mahu bincang projek pembaikan cerun - Utusan Malaysia

Penduduk mahu bincang projek pembaikan cerun

ASNUDI Mohd. Ashaari (kiri), Muhammad Arif (tengah) dan Zool Amali menunjukkan projek pembaikan cerun runtuh di Rumah Rakyat Panchor, Seremban yang dijalankan tanpa sebarang perbincangan dengan penduduk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penduduk di Rumah Rakyat Panchor, dekat sini kesal apabila pelaksanaan projek pembaikan cerun runtuh yang dijalankan di belakang rumah mereka dilakukan tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan mereka.

Lebih mendukacitakan, dakwa mereka, projek tersebut yang telah bermula sejak bulan Ogos lalu dijalankan tanpa prosedur yang betul selain membawa risiko kerosakan kepada rumah penduduk terlibat selain mengganggu keselesaan penduduk.

Salah seorang penduduk, Asnudi Mohd. Ashaari, 42, mendakwa, tiada sebarang pertemuan dilakukan di antara pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor dengan penduduk dari 11 buah rumah yang terlibat melainkan hanya surat pemakluman daripada pihak kontraktor.

Keadaan tersebut menyebabkan penduduk tidak tahu dengan siapa perlu mereka rujuk sekiranya berlaku sesuatu terhadap kediaman penduduk susulan pelaksanaan projek berkenaan.

“Sudahlah penduduk terpaksa berdepan isu risiko kerosakan dan kekotoran rumah masing-masing setiap hari sehingga projek ini siap yang dijangka mengambil masa setahun lagi. 

“Sehingga kini tiada langsung pertemuan dilakukan pihak berwajib dengan penduduk bagi memberitahu bagaimana projek ini akan dijalankan. Datang bertemu kami dan maklumkan satu persatu, sekurang-kurangnya penduduk tahu dengan siapa perlu dirujuk sekiranya berlaku kejadian tidak diingini kelak,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Arif Mohd. Yaacop, 39, pula berkata, penduduk bukan menolak projek tersebut yang penting bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh berulang, namun apa yang dikesalkan penduduk tidak mendapat maklumat sewajarnya daripada pihak berwajib.

“Sebuah rumah penduduk telah terjejas dan rosak ekoran projek ini, bagaimana pula dengan nasib baki rumah yang lain? Kepada siapa yang perlu kami rujuk?,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohd. Noor Seedi, 72, pula berkata, dia bimbang projek berkenaan akan menyebabkan beberapa batang pokok besar yang berada di kawasan cerun tersebut akan menimpa rumah penduduk.

“Saya cuma minta pihak berkaitan menguruskan isu pokok-pokok besar tersebut, dalam keadaan cuaca hujan lebat dan ribut ia menyebabkan risiko pokok itu tumbang dan menimpa rumah penduduk termasuk rumah saya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin berkata, sesi pertemuan perlu diadakan segera di antara pihak JKR dan kontraktor dengan penduduk bagi menyelesaikan isu ini termasuk dalam isu pampasan dan jaminan kepada penduduk jika berlaku kejadian yang tidak diingini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya