YAN: Penduduk yang tinggal berdekatan sungai di kaki Gunung Jerai di sini bimbang longgokan batu yang dijadikan benteng sementara daripada kerja-kerja mendalam sungai boleh mengancam keselamatan mereka sekiranya kejadian kepala air berulang di kawasan tersebut.
Mereka khuatir batu-batu tersebut boleh hanyut dan menghentam rumah penduduk berdekatan sungai tersebut sekiranya arus deras berlaku selepas ini.
Batu-batu tersebut sebelum ini memenuhi sungai tersebut selepas dihanyutkan arus daras dari Gunung Jerai dalam kejadian kepala air yang berlaku pada 18 Ogos lalu.
Seorang penduduk Kampung Acheh, Zulkifli Mat, 53, berkata, usaha yang dilakukan pihak berkuasa membersih dan mendalamkan sungai di belakang rumahnya
dihargai selepas dua bulan kejadian kepala air di Gunung Jerai di sini.
“Kami bersyukur kerana tidak bimbang lagi dari segi aliran air selepas dilakukan kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai di kampung ini.
“Tetapi yang merisaukan ialah longgokan batu dan pasir yang dijadikan benteng sementara berdekatan rumaah kerana didapati tidak kukuh dan boleh dibawa arus deras apabila hujan lebat di Gunung Jerai,” katanya ketika ditemui di Kampung Acheh di sini hari ini.
Penduduk Kampung Setol, Halim Mat Rejab, 66, berkata, benteng penahan hakisan itu sepatutnya dibuat dengan lebih kukuh untuk mengelakkan benteng tersebut runtuh dan air sungai melimpah memasuki ke dalam rumah penduduk.
“Lebih berbahaya sekiranya batu-batu yang dijadikan benteng itu dibawa arus deras sehingga boleh mengancam nyawa penduduk,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk Kampung Setol yang mahu dipanggil Pak Ali berkata, dia mengharapkan pihak berkuasa dapat membina benteng konkrit untuk mengatasi masalah hakisan sungai sekiranya berlaku arus deras dan kepala air.
“Longgokan batu yang diletakkan di sepanjang sungai untuk dijadikan benteng sebenarnya lebih berbahaya kepada penduduk yang tinggal berdekatan sungai.
“Penduduk yang tinggal berdekatan sungai selepas ini bukan sahaja takut arus deras tetapi juga batu-batu di tepi sungai yang hanyut,” katanya.
Dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu, seramai enam penduduk terkorban manakala sebanyak 1,732 rumah kediaman, 124 premis dan 14 chalet turut terkesan dalam fenomena itu. -UTUSAN ONLINE