Pemilik restoran diarah beri penjelasan harga ikan siakap RM1,196 - Utusan Malaysia

Pemilik restoran diarah beri penjelasan harga ikan siakap RM1,196

RESIT yang menunjukkan harga hidangan seekor ikan siakap berharga RM1,196 yang disajikan di sebuah restoran terapung di Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan notis kepada peniaga restoran terapung di sini untuk mendapatkan penjelasan mengenai  hidangan seekor ikan siakap yang dijual pada harga RM1,196 baru-baru ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNHEP Kedah, Mohd. Shahran Mohd. Arshad berkata, notis tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 selepas isu tersebut tular dalam media sosial.

Menurutnya, notis tersebut juga bertujuan untuk mendapatkan maklumat berkaitan item tertentu serta perniagaan dijalankan perlu dijawab dalam tempoh lima hari.

Katanya, sekiranya gagal memberi kerjasama dalam tempoh ditetapkan, pengusaha restoran terbabit boleh dikenakan tindakan.

“Apabila kita keluarkan notis tersebut, itu tidak bermakna pengusaha restoran berkenaan sudah dianggap bersalah. 

“Sebaliknya, maklumat yang kita minta ini akan digunakan untuk membuat analisa mengenai kos bagi setiap item yang diminta,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Selain itu, beliau menambah, pemilik restoran tersebut juga diminta memberi penjelasan mengenai kos ikan serta beberapa makanan lain dan jus tembikai.

Katanya, mereka turut diminta menyatakan kos dari segi utiliti, pembayaran gaji pekerja dan sebagainya.

Jelasnya, setiap penjelasan berhubung perkara itu turut perlu disertakan dengan dokumen sokongan.

“Kita beri tempoh lima hari untuk pengusaha restoran terbabit menjawab beberapa perkara yang dikemukakan dalam notis terbabit.

“Apabila mereka sudah serahkan jawapan nanti, kami akan nilai satu demi satu setiap kos yang dinyatakan itu dan membuat analisa sama ada memang berlaku kenaikan harga tidak munasabah atau sebaliknya,” katanya.  

Mengulas lanjut, Mohd. Shahran, setakat ini, hanya satu laporan rasmi diterima pihaknya berhubung perkara itu.

“KPDNHEP  sekarang ini  sedang giat melaksanakan ‘Ops Menu’ bagi memastikan kalangan peniaga benar-benar mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Pada Khamis lalu, tular di media sosial mengenai dakwaan seorang lelaki yang terpaksa membayar bil makanan tengah hari untuk tujuh individu berjumlah keseluruhan RM1,852.

Menerusi bil yang dipaparkan lelaki tersebut di laman Facebooknya, harga seekor siakap seberat 7.4 kilogram yang menjadi hidangan ahli keluarganya sebanyak RM1,196. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya