PASIR GUDANG: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang terjatuh ke dalam tasik ketika melakukan aktiviti mendaki bersama rakan-rakannya di bukit berhampiran ditemukan lemas di Tasik Tiga Beradik, hari ini.
Mangsa, Mohamad Zarif Isyraf Zulkifli, 20, ditemukan pada pukul 12.55 tengah hari selepas operasi mengesan dilakukan pasukan penyelamat di lokasi kejadian.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.20 pagi daripada rakan mangsa.
Katanya, seramai tujuh orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dihantar ke lokasi kejadian bersama dua jentera susulan panggilan diterima.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak membuat pencarian dan selaman dalam radius 50 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan.
“Mangsa dijumpai oleh anggota pada pukul 12.55 tengah hari dengan kedalaman 12 kaki dalam jarak 30 kaki dari lokasi terakhir mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Saiful Bahri berkata, dalam kejadian tersebut, mangsa dipercayai melakukan aktiviti mendaki bersama 40 orang rakan.
“Dalam perjalanan untuk melintasi tasik tersebut, mangsa telah terjatuh dari tebing berhampiran tasik tersebut.
“Mangsa cuba dibantu oleh rakan mangsa namun mangsa kehabisan tenaga lalu melepaskan pegangan dan tenggelam ke dasar tasik,” katanya.
Katanya, mangsa telah dibawa naik ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan kira-kira pukul 2.30 petang. – UTUSAN