Pelaburan besar RM21.41 bilion di bawah pelan pembangunan strategik NCER - Utusan Malaysia

Pelaburan besar RM21.41 bilion di bawah pelan pembangunan strategik NCER

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peranan strategik dan proaktif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan pelan tindakan menangani pemulihan pasca pandemik yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Strategik (SDP) Wilayah Ekonomi Koridor Utara  (NCER) 2021-2025, membuahkan hasil dengan pelaburan besar sebanyak RM21.41 bilion. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 34 peratus daripada sasaran awal sebanyak RM16 bilion.

Menurut beliau, sektor pembuatan kekal sebagai aktiviti utama dalam NCER, menyumbang sebanyak 32 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan pelaburan  yang diluluskan dalam sektor itu meningkat sebanyak 304 peratus daripada RM11.8 bilion pada separuh kedua 2020 kepada RM47.91 bilion pada separuh pertama tahun ini.

Kata beliau, situasi itu menandakan pemulihan jangka panjang di samping pemulihan dalam permintaan global membawa pertumbuhan perdagangan luar NCER sebanyak 13.1 peratus tahun ke tahun, merekodkan sebanyak RM191.7 bilion  pada suku ketiga tahun ini dengan jumlah sebanyak 35.1 peratus daripada keseluruhan nilai perdagangan luar Malaysia. 

“Pendekatan serampang tiga mata NCER memperkasakan kumpulan mudah terjejas melalui program modal insan berpaksikan rakyat, memangkin pertumbuhan ekonomi serantau yang seimbang melalui infrastruktur strategik dan memacu pelaburan swasta untuk menangani ketidakseimbangan serantau.  

“Pendekatan ini akan turut membolehkan NCER mencapai ekonomi bernilai RM300 bilion; purata pendapatan isi rumah mencapai RM10,508; 161,197 penciptaan pekerjaan terkumpul dan RM146.5 bilion pelaburan swasta menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis NCIA ke-27, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelaburan ke wilayah ini akan mewujudkan sejumlah 23,506 pekerjaan di NCER dengan lebih 65,000 peserta termasuk wanita, belia dan masyarakat Orang Asli menerima manfaat daripada pelbagai program modal insan berpaksikan rakyat dalam  mengatasi cabaran pandemik.  

Kata beliau, program-program itu akan diteruskan sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), selaras dengan matlamat membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025. 

Beliau menjelaskan, lebih 12,000 isi rumah miskin dan miskin tegar yang disenaraikan di bawah pangkalan data e-Kasih dan iDamak mendapat manfaat daripada program Kasih Ibu NCER di Kedah, Perak dan Perlis melalui bantuan dalam pembelian keperluan asas dan penjagaan  kesihatan, bagi mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup. 

“Sehingga kini, hampir 600 daripada penerima diintegrasikan ke dalam program empowerNCER dan JomNiaga@NCER dan mereka kini sudah mampu menjana pendapatan sendiri.  

“Berikutan kejayaan inisiatif ini, lebih 5,000 peserta akan disepadukan ke dalam program ini dalam usaha mencapai sasaran sifar miskin tegar RMK-12 menjelang 2025,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, program empowerNCER-Kemahiran dan Keusahawanan dan JomNiaga@NCER akan mewujudkan hampir 10,000 usahawan mikro dan pekerja mahir dalam kalangan kumpulan B40. 

Pada masa ini, katanya, lebih 900 peserta telah keluar daripada kemiskinan, di mana 300  peserta beralih ke dalam kategori M40 dan T20. 

Ujar beliau, lebih 5,000 penggerak ekonomi tempatan bukan sahaja berjaya menjana pendapatan kira-kira RM45 juta secara kolektif dalam tempoh enam bulan, tetapi juga mewujudkan lebih 1,200 pekerjaan untuk masyarakat setempat.

 “Program ini juga membantu lebih 5,200 perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang  mana pembiayaan RM85.9 juta diluluskan Maybank dan AgroBank,  menghasilkan Sifar Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) setakat ini,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya