Pas Pusat tentukan kerjasama dalam Muafakat Nasional - Utusan Malaysia

Pas Pusat tentukan kerjasama dalam Muafakat Nasional

RAZMAN Zakaria (tengah) pada program penyerahan dron dan sumbangan MAFI Prihatin di Kuala Kurau dekat Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Pas Perak menyerahkan kepada kepemimpinan peringkat Pusat dalam menentukan kerjasama parti itu dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu lalu.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, namun Pas tetap mendapat impak positif menerusi kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) apabila undi kepada Pas meningkat dua kali ganda berbanding yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, sebaliknya undi kepada calon Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka didapati berkurangan berbanding PRU-14.

“Soal kerjasama Pas dengan UMNO, itu keputusan parti, saya tak boleh beri pandangan peribadi mengenainya.

“Namun Pas mendapat impak yang positif menerusi kerjasama dengan kedua-dua parti pada PRN Melaka. PN ada positif, MN pun positif.

“Kalau kita tengok secara keseluruhan (PRN Melaka) undi kepada BN berkurangan, sebaliknya daripada undi yang Pas dapat, jumlah undi kepada calon Pas meningkat dua kali ganda berbanding PRU-14, bermakna undi kepada Pas meningkat apabila duduk dalam gagasan (PN) ini,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada program penyerahan dron dan sumbangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Kurau dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Azulita Salim.

Pas yang menyertai PN bertanding di lapan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Melaka iaitu di Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

Sementara itu, pada program tersebut, seramai 46 pesawah menerima dron yang digunakan untuk kerja-kerja sawah termasuk menabur benih padi dan meracun.

Razman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perak berkata, penyerahan dron itu merupakan peruntukan di bawah MAFI yang mana 70 peratus daripada harga dron iaitu secara purata RM30,000 seunit diberikan geran oleh kerajaan manakala baki 30 peratus dibayar oleh pengusaha sendiri.

Menurutnya, penggunaan dron dalam kerja-kerja sawah diharap dapat meningkatkan hasil pesawah.

“Di Perak, seramai  200 orang di bawah LPP telah menggunakan dron untuk kerja sawah.

“Kerajaan menggalakkan penggunaan dron dan kita dalam proses ke arah itu. Dalam tempoh setahun, mungkin 100 peratus pesawah guna dron.

“Dengan penggunaan dron, ia  dapat bantu meningkatkan hasil dan kita menyasarkan sehingga tujuh metrik tan sehektar berbanding 3.1 metrik tan sehektar ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya