KUALA LUMPUR : Potongan Cukai akan diberi kepada individu atau syarikat yang menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Hijau Malaysia bagi Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok mendapat potongan cukai.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, potongan cukai adalah selaras di bawah Seksyen 44 (11 C), Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan potongan sebanyak tujuh peratus bagi individu dan 10 peratus daripada jumlah pendapatan agregat tahunan bagi syarikat.
“Yayasan Hijau Malaysia memainkan peranan penting dan memberi galakan kepada orang awam dengan pelepasan cukai ini,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) meminta kerajaan menjelaskan mengenai agensi paling aktif dalam program tersebut.
Mengulas lanjut, Takiyuddin turut bekata, antara agensi yang aktif dalam hal ini adalah Yayasan Hijau Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Hutan Sabah, Jabatan Hutan Sarawak dan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri di Semenanjung.
Sehingga kini, jelas Takiyuddin lagi, sebanyak 23, 746, 874 pokok ditanam di seluruh negara melalui program itu dan jumlah spesies bernilai dalam kategori Critically Endagered, Endangered, Vulnerable dan Near Threatened adalah sebanyak 6,451,142 merangkumi 322 spesies. -UTUSAN ONLINE