KUALA LUMPUR : Rakyat perlu mendapatkan fakta yang jelas tentang kepentingan vaksinasi bagi melindungi diri dan masyarakat sekeliling.
Menegaskan perkara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, ini kerana semua pihak terdedah dengan suasana yang berisiko dengan penularan wabak Covid-19 termasuklah Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlaku kini.
“Hari ini kita dapat lihat sedikit perlahan peningkatan rakyat diberi vaksinasi dan juga berlaku kepada remaja, jadi, untuk perkara itu, saya sarankan jangan dengar fakta yang tidak jelas, kalau kita tidak faham, kita tanya.
“Terutama dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri dapatkan fakta yang jelas, benar supaya kita tidak keliru dengan fakta yang salah. Ini penting.
“Kita perlu lindungi rakyat dan negara terutama dalam suasana yang begitu mencabar dengan pilihanraya dan sebagainya maka untuk dapatkan dos penggalak adalah sangat-sangat penting,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Dr. Kelvin Yii, (PH-Bandar Kuching) meminta kerajaan menjelaskan apa perancangan kerajaan dalam mendidik masyarakat supaya mengambil vaksin sebagai langkah melindungi diri dan keselamatan masyarakat sekelilingnya.
Dalam masa yang sama, bagi memastikan Malaysia benar-benar bersedia memasuki fasa endemik, Noor Azmi berkata, terdapat tiga indikator yang menjadi pengukur bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
“Kita akan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman, memastikan pencapaian liputan vaksinasi yang sewajarnya termasuk dos penggalak serta meningkatkan penglibatan pelbagai pihak dan perkongsian maklumat yang terus dengan masyarakat iaitu memperkasakan komuniti,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE