PASIR SALAK: Sama seperti perniagaan lain, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) produk dodol jenama Dodol Opah Yang yang diusahakan wanita warga emas, Saerah Abdul Majid, 78, di sini turut terjejas permintaannya disebabkan Covid-19.
Pengurus Operasi Era Empai Maju Enterprise yang mengeluarkan produk jenama itu, Normi Mohd. Ramli berkata, sebelum pandemik melanda, pasaran produk syarikat itu hanya di sekitar daerah ini.
Katanya, produk dodol dijual di kedai bersebelahan rumah di Kampung Empai Teluk Sareh, Kampung Gajah di sini.
“Pasaran ketika itu hanya dari kalangan penduduk tempatan dan orang luar yang melalui jalan Kampung Gajah ke Bota Kanan.
“Itulah cara kami memasarkan Dodol Opah Yang, menyebabkan semasa pandemik Covid-19 mula melanda Mac tahun lalu, jualan produk kami terjejas.
“Ketika itu kami memikirkan masa depan perniagaan kami ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya Normi, mereka kemudiannya mengambil inisiatif memulakan jualan secara dalam talian dengan memuat naik gambar produk dodol dalam media sosial serta platform Shopee.
Katanya, syarikat mula memuat naik gambar produk dodol dalam pelbagai platform media sosial selepas tiga bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dilaksanakan.
“Namun ketika itu usaha kami itu masih kurang mendapat sambutan, mungkin kerana pada masa itu kurang ilmu mengenai pemasaran secara dalam talian,” katanya.
Menurutnya, semuanya berubah dengan idea daripada Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGrow) di sini, Nordin Abdul Malek yang menawarkan diri untuk membantu mereka dengan menghasilkan video emaknya, Saerah Abdul Majid atau lebih popular dengan nama Opah Yang.
Katanya, sejak rakaman sejak video emaknya tular tahun lalu, jualan produk syarikat itu meningkat begitu ketara.
“Permintaan bertambah selepas menjual dodol secara dalam talian dan peningkatan jualan kami lebih daripada 50 peratus berbanding sebelum Covid-19.
“Sebelum pandemik, kami boleh jual antara 200 hingga 300 kilogram sebulan, tapi sejak video Opah Yang menjadi tular serta penambah baikkan kaedah pemasaran dalam talian, jualan mencecah hampir 500 kilogram sebulan malah sehingga satu tan apabila Hari Raya.
“Untuk memenuhi permintaan tempahan, kami membeli sebuah lagi mesin pembuat dodol selain membesarkan kedai sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Saerah bersyukur kerana kerana perniagaan yang diusahakannya berpuluh tahun masih bertahan walaupun berdepan cabaran wabak Covid-19.
Menurutnya, tempoh tiga bulan pertama pandemik itu benar-benar mengujinya dan anaknya kerana dodol dihasilkan tidak terjual malah terpaksa menutup perniagaan buat sementara waktu.
“Selepas video saya berlakon tular dalam media sosial, jualan dodol kembali pulih malah semakin meningkat.
“Harapan saya semoga perniagaan dodol turun temurun ini dapat berkembang dikenali ramai,” katanya. – UTUSAN ONLINE