Nargiza Ortikova dari Uzbekistan johan Kategori Antarabangsa PABM - Utusan Malaysia

Nargiza Ortikova dari Uzbekistan johan Kategori Antarabangsa PABM

Ismail Sabri Yaakob menyampaikan trofi kepada Nargiza Ortikova Amirdin Qizi yang muncul johan kategori antarabangsa Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai , kelmarin. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tidak semua memiliki kemahiran untuk petah berpidato dengan baik apatah lagi bukan dalam bahasa ibunda sendiri yang semestinya memerlukan latihan dan penguasaan tatabahasa serta sebutan yang betul.

Namun, bagi pelajar dari Uzbekistan, Nargiza Ortikova Amirdin Qizi, 24, bahasa Melayu yang dipelajari sebagai bahasa kedua di universiti tempatnya menuntut bukanlah asing baginya sejak empat tahun lalu.

Pelajar Uzbekistan State World Languages University itu amat mencintai bahasa Melayu sejak kali pertama mempelajarinya kerana keindahan bahasa tersebut selain suaminya, Mohammad Rahim, 27, turut menguasai bahasa Melayu dengan baik.

“Saya belajar bahasa Melayu sebagai bahasa kedua di universiti, seminggu hanya ada dua kali kelasnya dan di Uzbekistan tidak ramai orang Malaysia jadi saya hanya terhad bercakap dalam bahasa Melayu semasa kelas sahaja.

“Tetapi saya sangat suka dengan bahasa Melayu kerana kosa kata dan tatabahasa yang sangat jelas menyebabkan saya terus mahu mempelajarinya dari semasa ke semasa melalui pelbagai medium,” katanya ketika ditemui semalam.

Nargiza dinobatkan sebagai johan kategori Antarabangsa pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM10,000 dan sijil penghargaan.

Mengenai kemenangan tersebut, Nargiza amat teruja dan melahirkan rasa terkejut selepas namanya diumumkan sebagai pemenang kerana peserta dari negara lain tidak kurang hebatnya.

“Saya mahu berterima kasih kepada dua orang guru yang mengajar saya bahasa Melayu sehingga saya yakin untuk menyertai pertandingan pidato dan mencapai kemenangan pertama, tidak lupa juga kepada suami dan keluarga yang sentiasa menyokong.

Nargiza menerima hadiah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merasmikan Malam Kemuncak PABM 2021 yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Tempat kedua bagi kategori sama dimenangi Hana Takahashi, 22, dari Tokyo University of Foreign Studies (TUFS), Jepun diikuti Youssouf Haidara, 36, dari Mali yang menuntut di Universitas Negeri Yogyakarta, Indonesia.

Sementara itu, bagi kategori Alam Melayu, johan milik peserta negara, Siti Nur Shafika Md. Fakharuzi, 22, dari Institut Pendidikan Guru Malaysia manakala tempat kedua juga milik peserta negara, Munira Muhamad, 23, dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diikuti tempat ketiga, Muhammaf Iqbaal Syakib Suhib, 22, dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei.

Bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia pula, johan menjadi milik Aminata Koutoub Sano, 21, dari Guinea yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), diikuti Salma Wael Marzouk Abouelsoud Hashem, 20, dari Mesir yang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pelajar UTM berasal dari Bangladesh, Rubiat Sadia Mim, 22, pula diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya