BUKIT MERTAJAM: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyangkal dakwaan pihaknya mengenakan caj sebanyak RM70 satu tan untuk melupuskan sampah di Pulau Burung dekat sini.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, caj itu hanya akan dikenakan terhadap sisa yang melebihi had maksima untuk dibuang yang ditetapkan MBSP kepada setiap pengilang.
Katanya, langkah itu selari dengan Sistem Pengurusan Sisa Pepejal Lestari yang akan dilaksanakan MBSP pada 1 Januari tahun depan dalam usaha mengekang peningkatan jumlah sampah.
Menurut beliau, pelaksanaan itu dibuat kerana data menunjukkan penjanaan sampah industri meningkat dengan ketara iaitu 292,252 atau 15.99 peratus pada 2019 kepada 352,463 atau 20.6 peratus pada tahun lepas.
“Jadi, peningkatan mendadak ini memaksa satu tindakan diambil yang akan menyelamatkan isu alam sekitar yang akan berbangkit jika tapak pelupusan sampah di Pulau Burung penuh lebih awal daripada jangka hayatnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai tindakan kira-kira 50 pemandu dan pengusaha lori sampah yang mengadakan demonstrasi aman di hadapan bangunan MBSP hari ini bagi membantah peraturan baharu yang diperkenalkan terhadap mereka yang disifatkan membebankan.
Jelas Rozali, secara purata, premis perindustrian dibenarkan melupuskan sisa sebanyak 24 tan setahun atau dua tan sebulan secara percuma dan kandungan besar sampah industri itu terdiri daripada barangan yang boleh dikitar semula.
Berhubung isu pemasangan peranti penjejak Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan pelekat sistem Radio Frequency Identification (RFID) di kenderaan pula, katanya, ia bertujuan mempercepatkan proses di jambatan timbang tapak pelupusan sampah berkenaan sahaja.
“Melalui pelekat RFID tersebut, segala maklumat mengenai syarikat pengangkut sampah, kilang serta sumber sampah mudah untuk dikenal pasti dan kita juga tidak akan mengenakan sebarang caj sama ada secara ‘one-off’ atau bulanan untuk pemasangan ini.
“Bagi peranti GPS pula, ia bertujuan untuk memantau pergerakan lori sampah daripada membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan oleh MBSP dan juga dilakukan secara percuma dengan semua kos ditanggung oleh pihak MBSP,” katanya.
Berhubung isu kesesakan kenderaan pembawa sampah di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung pula, jelas Rozali, MBSP telah mengarahkan operator di tapak pelupusan sampah itu mengambil tindakan segera. -UTUSAN ONLINE