Masih ada kirim surat layang lapor salah guna kuasa, rasuah  - Utusan Malaysia

Masih ada kirim surat layang lapor salah guna kuasa, rasuah 

SHAHAROM Nizam Abd. Manap (tengah) beramah mesra dengan wartawan yang hadir pada Majlis Apresiasi SPRM Kedah Bersama Rakan Strategik di Pejabat SPRM Kedah di Alor Setar hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah masih menerima surat layang walaupun pelbagai medium disediakan kepada orang awam  menyampaikan aduan  secara mudah dan selamat.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap berkata, pihaknya menerima sekurang-kurangnya dua atau tiga surat layang

pada setiap bulan bagi mendesak siasatan dilakukan terhadap sesuatu isu.

Katanya, meskipun pihaknya tidak mengabaikan surat-surat layang tersebut, namun, ada kalanya pihak SPRM perlu mendapatkan maklumat lebih lanjut daripada pemberi maklumat memandangkan surat layang yang ditulis ada kalanya tidak lengkap atau tidak mencapai maksud yang hendak disampaikan oleh individu berkenaan.

“Sebab itu saya minta mereka yang menulis surat layang ini agar tampil ke depan bagi kami mendapatkan maklumat lanjut daripada mereka. Kadang-kadang kita tak mahu siasatan itu menjurus ke arah yang salah dan menganiaya orang lain.

“Mungkin penulis surat layang ini bimbang identiti terdedah atau merasakan mereka bukanlah individu yang layak untuk membuat laporan. Itu tidak sepatutnya dibimbangi kerana identiti pemberi maklumat atau mereka yang buat laporan, sama sekali tidak akan kami dedahkan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Apresiasi SPRM Kedah Bersama Rakan Strategik di Pejabat SPRM Kedah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shaharom Nizam berkata, setiap individu yang ingin membuat laporan atau memberi maklumat tidak perlu bimbang mengenai kemungkinan identiti mereka akan terdedah kerana pertemuan bersama pegawai penyiasat SPRM boleh diadakan pada bila-bila masa dan di mana saja mengikut keselesaan individu berkenaan.

“Individu yang ingin membuat laporan atau memberi maklumat ini boleh terdiri daripada sesiapa saja tanpa mengira pangkat dan jawatan. Asalkan mereka mempunyai maklumat, mereka boleh salurkan kepada kami untuk disiasat,” ujarnya.

Tambahnya, pengisian surat-surat layang yang ditulis juga biasanya bercampur-campur dengan perkara yang ada kalanya tiada kena-mengena dengan bidang kuasa SPRM.

“Hari ini pun saya terima lagi surat layang. Penulisannya cukup panjang hingga mencecah 10 atau 12 muka surat.

“Sebab itu kita perlu dapatkan penjelasan lanjut kerana mahu pastikan betul-betul setiap maklumat disampaikan selain membantu kami menyiapkan siasatan dengan lebih pantas,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya