MELAKA: Rakyat disarankan untuk makan sayur tempatan sehingga hujung tahun ini susulan harga sayur import dijangka terus meningkat sepanjang tempoh tersebut.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ia berikutan jumlah bekalan sayur import termasuk dari China telah berkurangan berikutan negara itu mengalami cuaca sejuk melampau.
Katanya, dalam tempoh ini, rakyat disarankan membeli sayur tempatan berbanding hasil import yang mengalami kenaikan mendadak sehingga mencecah RM4 sekilogram.
“Susulan kekangan cuaca hujan tidak menentu dalam negara dan China mengalami cuaca sejuk melampau, bekalan sayur import telah mengalami penyusutan.
“Sejak Oktober lalu, kita mengesan kenaikan harga sayur-sayuran import ini termasuk brokoli dan kubis bulat, jadi ini adalah masa terbaik untuk kita mempromosikan penggunaan barangan (sayur) tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Agroinvest Mardi 2021 yang turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagaimanapun harga sayur-sayuran itu masih dalam kawalan dan dijangka dapat distabilkan menjelang hujung tahun ini.
“Bagi menangani situasi ini kita sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan bekalan dan kualiti barang terjamin.
“Dalam masa sama kita juga sentiasa membuat pemantauan harga dan mengadakan perbincangan bersama agensi itu,” katanya.
Ujarnya lagi, pihaknya bagaimanapun memberikan jaminan bahawa bekalan sayur-sayuran tempatan mencukupi dan stabil untuk kegunaan rakyat. -UTUSAN ONLINE