KUALA LANGAT: Masih degil, walaupun tindakan pernah diambil termasuk melakukan kerja pembersihan serta memasang papan tanda larangan oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), orang ramai dilihat terus membuang sampah di Jalan Segenting, di Pulau Carey di sini.
Kali terakhir perkara tersebut berlaku kira-kira tiga bulan lalu apabila MPKL menerima aduan daripada penduduk berhampiran mengenai longgokan sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab berhampiran kawasan perindustrian itu.
Bagaimanapun, sikap buruk itu dilihat berterusan apabila orang ramai mengambil jalan mudah membuang pelbagai jenis sisa termasuk sampah pukal di kawasan terbabit.
Menurut seorang penduduk tempatan yang dikenali sebagai Yusop, 45, berkata, tindakan tersebut secara tidak langsung kembali mencacatkan kawasan perindustrian tersebut.
“Papan tanda amaran dan tali pita MPKL sememangnya telah diletakan di kawasan tersebut namun dipandang enteng di kalangan individu bersikap pengotor itu.
“Baru tiga bulan lokasi ini dibersihkan MPKL, masih ada lagi individu tidak bertanggungjawab membuangnya seolah-olah tiada kesedaran sivik. Kita harap penguatkuasa MPKL membuat rondaan berkala menangkap pelakunya,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, bagi seorang lagi penduduk mahu dikenali sebagai Samy, 55, memberitahu pembuangan tersebut menyebabkan lokasi itu sering dikunjungi haiwan liar seperti anjing liar dan burung gagak.
“Apa dirisaukan adalah sekiranya terdapat takungan air yang boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes dan penularan wabak denggi.
“Sampah yang bertabur atas jalan turut melibatkan benda-benda tajam seperti kaca dan besi. Kalau terlanggar boleh bocor tayar,”katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tempat pembuangan sampah haram tersebut dipenuhi dengan sampah industri, sampah basah dan perabot-perabot lama. -UTUSAN ONLINE