KANGAR : Seorang buruh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri seekor burung kakak tua di sebuah rumah di Taman Bunga Angsana, Beseri, Padang Besar, Sabtu lalu.
Tertuduh, Mohd. Amizad Marodzi, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Kamaliza Md. Zain.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada empat orang anak itu didakwa mencuri seekor burung kakak tua jenis African Grey Parrot dengan nombor penandaan milik Mohd. Faiz Jaafar, 35, di Jalan Angsana 5, Taman Bunga Angsana kira-kira pukul 4 pagi, Sabtu lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Ab. Rashid sementara tertuduh diwakili peguam bela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Iman Nor Azmi.
Kamaliza menetapkan jaminan sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin. Tertuduh membayar jaminan tersebut.
Mahkamah menetapkan 15 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sabtu lalu Utusan Malaysia melaporkan seorang penganggur ditahan kerana disyaki mencuri seekor burung kakak tua jenis Grey African di sebuah rumah di Beseri.
Lelaki tersebut ditahan polis di rumahnya di Kampung Dato’ Kayaman tidak sampai lapan jam selepas mencuri burung berkenaan. -UTUSAN