PUTRAJAYA: Dianggarkan lebih 400,000 murid tahun lima dan enam di seluruh negara bakal menduduki Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) secara berperingkat mulai esok.
Jumlah itu meningkat dua kali ganda susulan penundaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) untuk murid tahun lima yang sepatutnya dibuat tahun lepas tetapi dibawa kepada tahun ini.
Ia kemudian menggantikan peperiksaan bertulis bagi lapan subjek terlibat itu kepada Modul Penilaian KAFA (MPKAFA) dengan tempoh dipanjangkan berbanding empat hari sebelum ini.
Langkah itu selaras dengan pengumuman Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 15 Oktober lalu yang memaklumkan penilaian dilaksanakan dari Isnin ini sehingga 30 November.
Ia mengambil kira nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sejumlah 5,943 buah sekolah terbabit yang bertindak sebagai pusat peperiksaan telah menghantar makluman mengenai tarikh dan masa ujian itu.
Murid yang terpilih diminta hanya perlu datang 15 minit sebelum waktu ujian untuk diperiksa suhu tubuh badan dan seterusnya diberi slip kebenaran peperiksaan daripada guru bertugas.
Kemudian mereka bakal ditempatkan di kelas tertentu yang dijadikan bilik menunggu sebelum dipanggil masuk ke kelas lain sebagai bilik penilaian khusus dalam kumpulan bilangan kecil.
MPKAFA lebih mencabar daripada UPKK kerana sesi ujian secara solo dengan setiap murid dipanggil seorang demi seorang yang perlu menyerahkan slip kepada guru penilai untuk diuji .
Calon itu akan dinilai secara lisan di hadapan guru pemeriksa berdasarkan sukatan kurikulum KAFA Jakim dari Tahun 3 hingga 5 dengan markah yang diperuntukkan sebanyak 75 peratus.
Ada lima subjek terlibat iaitu Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab serta Bahasa Arab manakala Tilawah, Hafazan dan Tafsir al-Quran selesai dibuat sebelum ini.
Baki 25 peratus untuk bahagian kedua MPKAFA pula meliputi penilaian sahsiah, kehadiran kelas atas talian, hasil kerja dan komitmen calon sejak awal persekolahan bermula Mac lalu.
Seperti juga UPKK, keputusan MPKAFA diterima Kementerian Pendidikan sebagai sokongan bagi kemasukan ke tingkatan satu pelbagai sekolah perdana khusus terbaik di seluruh negara termasuk pilihan 60 buah sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), 12 sekolah berasrama penuh integrasi (SBPI) dan tiga sekolah menengah agama persekutuan (SMAP).
Keputusan ujian itu turut boleh dijadikan sokongan kemasukan tujuh buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) jenis tahfiz ulul albab yang mendapat permintaan tinggi ibu bapa Muslim.- UTUSAN ONLINE