PUTRAJAYA: Pembayaran Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 Fasa 2 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) akan mula dikreditkan pada Selasa ini sekali gus memanfaatkan lebih sejuta peniaga kecil dan sederhana (PKS) mikro yang layak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran berjumlah RM500 itu adalah lanjutan daripada bayaran Fasa 1 sebanyak RM500 yang dibuat pada September lalu.
Menurut beliau, secara keseluruhan, setiap peniaga terbabit akan menerima bayaran berjumlah RM1,000 di bawah GKP 4.0 bagi meringankan beban kewangan mereka akibat pandemik Covid-19.
“Inisiatif ini akan melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0, GKP 3.0 dan penerima baharu GKP 4.0 dengan implikasi kewangan sebanyak RM500 juta.
“Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP. Semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai 22 November ini melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada lebih 1 juta PKS mikro di bawah GKP semenjak Covid-19 melanda negara adalah sebanyak RM6.08 bilion.
Kata Perdana Menteri, kerajaan berharap agar bantuan tunai berterusan kepada PKS mikro yang layak ini dapat membantu aliran tunai di samping menggerakkan dan memulihkan kembali perniagaan mereka yang merupakan sektor paling terjejas sepanjang pandemik Covid-19.
Untuk maklumat lanjut, penerima GKP boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan. -UTUSAN ONLINE