KOTA TINGGI: Sepasang suami isteri tidak menyangka produk lada kisar yang dijual pada awalnya hanya untuk suka-suka kini menjadi satu perniagaan yang diusahakan mereka di Felda Bukit Aping Barat, di sini.
Mohd. Fairus Palil, 39, berkata, idea untuk menjual lada kisar itu bermula selepas kakinya patah akibat jatuh pokok dan tidak dapat lagi keluar bekerja sebagai pemandu lori pada ketika itu.
Katanya, bermula dari situ dia dan isteri, Natipah Amat Judi, 43, mula menjual lada kisar sebagai pendapatan tambahan sejak 2018.
“Selepas kematian ibu bapa, saya tinggal di rumah pusaka ini bersama isteri. Saya hanya dua beradik dengan kakak saya tinggal bersama keluarganya.
“Memang ada pendapatan sawit tapi hasil itu saya beri kepada kakak juga. Jadi apabila patah kaki dan tidak dapat bekerja selain perlu jalani rawatan fisioterapi secara bulanan, kami pun cuba-cuba jual lada kisar dan tak sangka dapat sambutan.
“Kebanyakan pelanggan adalah mereka yang bekerja kerana bagi mereka lada kisar ini mudah untuk disediakan. Rata-rata yang membeli adalah pekerja seperti di klinik dan guru-guru,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Mohd. Fairus berkata, selain lada kisar, mereka menjual bawang merah dan bawang putih goreng sejak tahun lepas dan pelanggan terdiri dari luar daerah termasuk Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur yang dibekalkan secara pos.
Jelasnya, setiap kali menyiapkan bawang goreng, dia dan isteri akan memproses sebanyak 20 kilogram bawang dan mengambil masa sehingga lima ke enam jam untuk menyelesaikan semua gorengan sehingga rangup.
“Rata-rata yang suka produk kami ini sebab kami adalah produk buatan sendiri. Seperti lada kisar kami akan masak terlebih dahulu dan yang lebih penting produk kami tidak ada tambahan bahan pengawet.
“Bagi lada kisar kami akan kumpul tempahan sebelum buat kerana tidak akan simpan stok bagi mengelak ia cepat rosak. Jadi bila orang tempah baru kami buat, selalu kami beli lada kering sehingga satu guni,” katanya.
Daripada suka-suka, Mohd. Fairus berkata, mereka kini telah mendaftarkan perniagaan sebagai Epairus’s Kitchen dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk meneruskan perniagaan dengan lebih serius.
Orang ramai yang ingin membuat tempahan lada kisar atau bawang goreng Epairus’s Kitchen boleh menghubungi talian 012-795 0134 (Natipah) atau 017-796 0795 (Mohd. Fairus). -UTUSAN ONLINE