PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan larangan terhadap amalan pemeriksaan haid di semua institusi pendidikannya di seluruh negara.
Larangan itu seiring dengan surat makluman dikeluarkan KPM pada 2 November lalu bertajuk Peringatan Berkaitan Pemeriksaan Fizik Dalam Kalangan Murid Perempuan di Sekolah.
Surat makluman ditandatangani Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid itu ditujukan kepada semua Ketua Bahagian KPM dan Pengarah Pendidikan Negeri.
Menerusi surat makluman itu, KPM mendapati bahawa tindakan pemeriksaan fizikal, khususnya berkaitan haid dalam kalangan pelajar perempuan ada berlaku di institusi pendidikan bawah KPM.
“KPM memandang serius perkara ini dan menegaskan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.
“Sehubungan itu, semua jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah hendaklah memastikan amalan dan tindakan pemeriksaan fizikal khususnya berkaitan haid tidak berlaku di mana-mana institusi bawah KPM,” kata surat makluman berkenaan.
Jelasnya, semua pihak diminta peka dan menjalankan pemantauan bagi memastikan perkara itu tidak berlaku di masa hadapan.
Bahkan, tindakan tegas perlu diambil jika amalan sedemikian berlaku di institusi pendidikan bawah KPM.
“Semua pihak hendakiah memastikan arahan ini disampaikan dan dipatuhi pada kadar serta-merta oleh semua institusi pendidikan bawah pentadbiran,” jelas surat makluman tersebut.
Baru-baru ini, Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr. Radzi Jidin melawat Kolej Vokasional ERT di Setapak, Kuala Lumpur susulan dakwaan kononnya berlaku pemeriksaan haid ke atas pelajar perempuan di kolej itu.
Radzi memaklumkan, beliau memandang serius memandang serius amalan pemeriksaan haid secara fizikal dalam kalangan murid perempuan di sekolah.
“Saya komited untuk memastikan amalan ini tidak terus berlaku di mana-mana institusi KPM.
“KPM sentiasa komited untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa di sekolah dan asrama. Ini bagi mewujudkan sekolah yang sejahtera untuk semua,” katanya. -UTUSAN ONLINE