Ketam laris ketika pandemik - Utusan Malaysia

Ketam laris ketika pandemik

MOHD.Yusof Bakri (kanan) menunjukkan ketam nipah yang dijualnya di Jalan Lama Bandar-Pulau Carey, Teluk Panglima Garang di Kuala Langat, Selangor. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kerana percaya sup ketam boleh mencegah jangkitan demam ‘denggi’, kini menu makanan laut itu turut dipercayai boleh menyembuhkan jangkitan wabak Covid-19.

Kepercayaan itu menyebabkan jualan ketam laku sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak tahun lalu dan ramai peniaga mengambil kesempatan menjual hasil laut berkenaan termasuk membuka payung di tepi jalan sebagai pendapatan tambahan.

Situasi itu dikongsikan seorang peniaga ketam dan hasil laut di Kampung Medan Sijangkang di sini Mohd.Yusof Bakri, 66, yang mendakwa, ketam laris disebabkan orang ramai yang dijangkiti virus tersebut ingin mencuba minum sup ketam sebagai ikhtiar untuk sembuh.

Menurutnya, disebabkan kepercayaan itu juga, pendapatan daripada hasil jualan ketam sahaja pernah mencecah lebih RM1,000 sebulan apabila ada pelanggan termasuk datang dari jauh seperti Sungai Besar dan Tanjong Karang.

“Kalau ketam nipah yang masih hidup isinya manis dan harganya boleh mencecah RM70 sekilogram dan ketam nipah betina boleh mencecah RM80 sekilogram. Untuk ketam bunga harga jualan adalah antara RM28 hingga RM35 mengikut kelas.

“Pernah ada pembeli memborong sehingga 20 kilogram dengan harga mencecah sehingga RM1,000,” katanya kepada Utusan Malaysia dekat gerainya di Jalan Lama Bandar-Pulau Carey, Teluk Panglima Garang, di sini.

Walau bagaimanapun, pakar perubatan, Prof. Dr. Subramaniam Muniandy menafikan makanan laut itu boleh menyembuhkan jangkitan Covid-19, sebaliknya jika hal demikian berlaku ia hanya satu kebetulan.

“Soal ketam boleh sembuhkan sakit denggi pun masih belum ada bukti. Memanglah kadang-kadang orang makan dan dalam masa sama keadaan kesihatannya beransur pulih. Cuma jadi masalah apabila dia terus sebarkan maklumat kononnya makan sup ketam boleh sembuhkan penyakit.

“Bukti yang dikeluarkan oleh badan-badan berkuasa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu bolehlah dipercayai. Tetapi, kalau setakat mendapat maklumat daripada ‘cakap-cakap’ itu tak boleh jadi satu bukti,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN