Menteri guna Vellfire, Proton dianaktirikan di tanah air sendiri - Utusan Malaysia

Menteri guna Vellfire, Proton dianaktirikan di tanah air sendiri

PROTON Perdana mula dijadikan KRJ jemaah menteri sejak 1995 manakala Toyota Vellfire mengantikannya pada April lalu. – GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah teruk dikritik warganet tempatan, pakar geostrategis terkenal, Dr. Azmi Hassan pula tampil mengkritik kerajaan kerana dilihat menganaktirikan jenama Proton.

Melalui hantaran dalam akaun sosialnya, beliau hairan dalih pelik model Proton Perdana digantikan kepada Toyota Vellfire sebagai kenderaan rasmi jawatan (KRJ) jemaah menteri baru-baru ini.

“Sejujurnya, saya langsung tidak faham apakah rasional diubah kereta rasmi menteri kerajaan persekutuan daripada Proton Perdana kepada Toyota Alphard?” soalnya dalam nada kesal.

Beliau merujuk isu tular penjelasan lemah Kementerian Kewangan semalam yang mendakwa kononnya kereta Jepun itu lebih jimat dari segi sewa bulanan berbanding model sebelumnya yang mana jawapan itu menerima kecaman netizen yang kecewa mempersoalkan penjimatan hanya RM2.80 sebulan setiap kereta itu sebagai alasan paling tidak masuk akal.

Lebih disesali apabila penggantian kenderaan rasmi itu dibuat secara senyap pada April lalu ketika seluruh negara di bawah Proklamasi Darurat dan sesi Parlimen digantung oleh kerajaan terdahulu.

Mengulas lanjut, Azmi memberi contoh lapan pemimpin kuasa ekonomi dunia yang bangga dengan kereta keluaran negara mereka sendiri, malah sedia menjadi duta produk berkenaan dan di Malaysia bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga lebih banyak guna Proton Perdana dengan plat pendaftaran khas TN50 ke mana sahaja pergi.

Namun, katanya, perkara itu berubah apabila jenama kereta tempatan yang sudah kukuh bertapak di Malaysia hampir 40 tahun, kini kembali dianaktirikan kerajaannya sendiri, malah alasan kos penyelenggaraan Vellfire jauh lebih murah berbanding Perdana juga tidak logik.

Dengan kos harga sebuah sudah mencecah kira-kira RM350,000 berbanding Perdana cuma RM150,000 sebuah, beliau terkejut faktor berkenaan tidak pula diambil kira kerajaan.

“Alphard ialah jenama Toyota berpusat di Jepun dengan ada kilang di Thailand tetapi Perdana dikeluarkan Proton sehingga kini di fasiliti canggihnya di Tanjung Malim, Perak,” jelasnya.

Justeru kata Azmi, dari segi harga alat ganti pun sudah memang tinggi kerana perlu diimport dari negara jiran kecuali kerajaan sanggup menggunakan komponen daripada kereta potong, sedangkan alat ganti asli Perdana pula boleh ditempah terus dari kilang Proton di Shah Alam waima pakar penyelenggaraan boleh dipanggil ke Putrajaya bila-bila masa jika kereta rosak.

Katanya, penggantian kenderaan rasmi itu kepada jenama asing sebagai bentuk pembaziran wang rakyat ketika negara baru sahaja pulih setelah dua tahun ekonomi merosot dan sebagai menteri mereka seharusnya sedar mereka ialah duta secara tidak langsung kepada jenama tempatan dan wajarlah lebih berbangga dengan nilai produk buatan sendiri. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya