PASIR GUDANG: Keputusan Pas untuk bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah menunjukkan kecenderungan parti berkenaan dalam memilih rakan politik.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Noor Azleen Ambros berkata, keputusan itu juga akan menguji jalinan kerjasama antara UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN).
“Keputusan Pas dalam PRN Melaka menunjukkan prinsip dan pendirian perjuangan mereka sebagai sebuah parti politik di negara ini.
“Namun secara tidak langsung, ia juga akan menjadi ujian kepada UMNO dalam memilih rakan politik iaitu sejauh mana UMNO berharap kerjasama dengan Pas akan bertahan. Adakah mampu kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Sanitasi Bas dan Van Sekolah di Dewan Serbaguna Taman Scientex, di sini hari ini.
Baru-baru ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu memilih untuk meneruskan kerjasama dengan PN dalam PRN Melaka sekaligus menolak kerjasama dengan UMNO.
Malah, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang berlangsung pada 1 November di Pejabat Agung Pas Pusat telah meluluskan penggunaan lambang PN dalam PRN Melaka.
Ketetapan itu setelah mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama Pas yang bersidang sehari sebelum, selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan Pas.
Sementara itu, Noor Azleen turut memberitahu, Pemuda UMNO bagaimanapun akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti seperti yang telah dicapai pada Perhimpunan Agung UMNO lalu. -UTUSAN