KUALA TERENGGANU: Kerajaan akan mempertimbangkan kenaikan gred seramai 2,134 pembantu dan penolong pegawai hal ehwal Islam di pelbagai agensi di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, mereka yang merupakan kakitangan gred S19 dan S29 itu dicadangkan dinaikkan kepada gred S41 dan S44.
Katanya, langkah itu selaras agenda meneruskan dasar hal ehwal Islam di agensi dan jabatan seluruh negara.
“Peranan kakitangan berkenaan adalah berkaitan dakwah, akidah, undang-undang, baitulmal di samping penguatkuasaan dan mereka ditempatkan di pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan banyak lagi,” katanya ketika ucapan penggulungan dalam Muktamar Pas Ke-67 di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Idris berkata, kerajaan menyalurkan RM60 juta bagi kerja-kerja naik taraf infrastruktur di sekolah agama, pusat tahfiz dan pondok sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.
“Kita masih mempunyai baki RM40 juta untuk peruntukan operasi institusi berkenaan dan kita minta para pengusaha segera mendaftar untuk memudahkan penyaluran bantuan,” katanya. -UTUSAN ONLINE