PUTRAJAYA: Seorang petugas Parlimen disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, semalam selepas disahkan positif Covid-19, awal bulan ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Datuk Dr. P. Param Jeeth Singh berkata, pesakit berusia 54 tahun dan tidak diketahui menghidapi sebarang penyakit kronik sebelum ini malah telah lengkap vaksin Covid-19 pada 11 Julai lalu.
Katanya, berdasarkan rekod, pada 3 November lalu, kes mula mengalami gejala demam dan batuk, dan beliau melakukan ujian saringan Covid-19 RT-PCR pada 8 November lalu dengan nilai CT: 17.4.
“Pejabat Kesihatan Lembah Pantai menghubungi beliau pada hari sama untuk siasatan dan mendapati status Covid-19 kes adalah Kategori 2a sebelum pesakit diarahkan untuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) bagi penilaian klinikal dan seterusnya rawatan susulan jika berkaitan, namun keesokannya pesakit hadir ke CAC di Dewan Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar kerana sesak nafas.
“Pesakit segera dimasukkan ke wad di Hospital Kuala Lumpur selepas penilaian klinikal menunjukkan status Covid-19 kes adalah kategori empat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Param Jeeth Singh berkata, siasatan mendapati pergerakan beliau sebelum ini hanya meliputi tempat kerja dan rumah sahaja serta tidak terlibat dengan perjumpaan bersama ahli perwakilan Parlimen dalam tempoh dua minggu sebelum beliau bergejala.
Katanya, kes juga sudah tidak hadir bekerja sejak mula mengalami gejala dan hari terakhir hadir ke pejabat adalah pada 3 November lalu.
“Semua kontak rapat iaitu empat orang kontak rapat iaitu dua orang kontak di rumah dan dua orang kontak di tempat kerja telah dikenal pasti dan kesemuanya menjalani kuarantin sebaik sahaja dikenal pasti.
“Siasatan juga masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kes mendapat jangkitan,” katanya. -UTUSAN ONLINE