TUMPAT: Kerajaan negeri Kelantan belum menerima laporan rasmi sama ada dari Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) atau Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berhubung penemuan emas di Bukit Lata, Rantau Panjang.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini pihak kerajaan negeri hanya menerima maklumat dan desas-desus berkaitan penemuan mineral berharga tersebut menerusi laporan akhbar.
“Setakat ini, kerajaan negeri masih menunggu maklumat lanjut. Kebiasaannya, kita akan memperoleh maklumat itu sama ada dari pihak JMG Kelantan atau PTG Kelantan.
“Selepas menerima maklumat, barulah kita meneliti lebih lanjut soal penemuan sumber mineral tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Restoran D’Terapung Pantai Sri Tujuh, di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan, Kampung Bukit Lata di Rantau Panjang menjadi tumpuan orang ramai tiga hari lalu selepas penduduk digemparkan dengan penemuan ketulan batu yang didakwa mengandungi emas.
Difahamkan, ketulan batu mengandungi emas dijumpai penduduk di sekitar kawasan tapak pembinaan projek tebatan banjir di kampung itu yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini.
Satu rakaman klip video turut tular dalam media sosial seperti Facebook sejak semalam, memaparkan orang ramai yang dilihat sedang sibuk melombong emas di kawasan itu pada waktu malam.
Mengulas lanjut. Mohd. Amar memberitahu, Kelantan sememangnya kaya dengan sumber emas terutama di kawasan Sokor di Tanah Merah serta Jeli dan perkara itu telah disahkan oleh pihak JMG sendiri.
Bagaimanapun kata beliau, kuantiti emas itu di dua lokasi terbabit setakat ini tidak dapat disahkan sama ada berbaloi untuk dilombong secara besar-besaran atau tidak kerana masih memerlukan kajian lebih terperinci.
“Di Jeli misalnya, emas yang ditemukan berada dalam perut bumi dan kawasan sungai. Emas itu sering dijumpai penduduk tempatan. Kerajaan negeri telah mengeluarkan lesen mendulang supaya dapat mengawal aktiviti tersebut,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE