JOHOR BAHRU: Berkaki satu dan bergantung kepada kerusi roda dalam pergerakan yang terhad tidak menjadi halangan buat seorang mahasiswa menjadi usahawan bidang makanan.
Zainal Safuan Zainal Abidin, 31, kehilangan kaki kanannya akibat kemalangan jalan raya kira-kira 11 tahun lalu selepas motosikal ditunggangnya ketika pulang dari belajar secara berkumpulan dirempuh sebuah kereta.
“Ketika itu saya sedang belajar di peringkat diploma dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Larkin. Doktor beritahu terpaksa potong bahagian kaki saya sehingga paras betis kerana luka yang teruk dan tidak dapat diselamatkan.
“Apabila mendengar kata-kata doktor saya rasa amat sedih dan hampir putus asa, selama enam bulan saya cuti belajar dan cuba serasi dengan kehidupan baharu dengan sebelah kaki,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Tidak menjadikan kekurangan itu sebagai pengubah episod hidup, Zainal Safuan yang kini menyambung pengajian bagi menggengam sijil perakaunan profesional Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) juga berniaga makanan secara dalam talian.
Lebih membanggakan apabila anak ketiga daripada empat beradik itu memasak sendiri menu tengah hari iaitu nasi butter chicken dan salted egg serta spaghetti untuk dijual dengan harga RM5 hingga RM9 sebungkus.
Katanya, dia mula belajar memasak melalui media sosial pada 2019 dan hanya mengambil masa kira-kira sebulan untuk mahir menyediakan makanan tersebut.
Walaupun berkerusi roda, Zainal Safuan tetap bergerak ke sana sini sama ada untuk membeli bahan mentah, memasak tanpa bantuan sesiapa sehingga ke peringkat penghantaran dengan memandu sendiri keretanya.
“Setiap hari saya mula memasak sekitar pukul 8 pagi untuk menyiapkan antara 20 hingga 30 pek makanan sebelum dihantar kepada pelanggan yang menempah di sekitar Johor Bahru.
“Meskipun sibuk dengan memasak dan menghantar pesanan, saya tetap tidak abaikan pelajaran yang berbaki 10 kursus lagi berkaitan perakaunan yang dilakukan secara dalam talian,” katanya.
Zainal Safuan berkata, golongan yang senasib dengannya tidak sewajarnya menjadikan kekurangan sebagai alasan untuk tidak boleh berdikari, sebaliknya menggunakan kekurangan itu untuk kejayaan pada masa hadapan.
Orang ramai yang ingin merasai keenakan masakan Zainal Safuan boleh menghubunginya di talian 011-1271 7574 untuk tempahan. -UTUSAN ONLINE