PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya membolehkan rakyat menikmati kelonggaran sektor ekonomi dan sosial secara berperingkat.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan, kepercayaan dan keyakinan penuh terhadap kerajaan untuk memulihkan negara dalam masa yang sangat mencabar ini.
“Setakat semalam, tahap vaksinasi golongan dewasa mencapai 95.1 peratus.Kerjasama erat semua pihak, termasuk antara kerajaan dan rakyat juga telah memungkinkan perhimpunan seperti ini diadakan.
“Berbanding dengan tahun lepas, perayaan Deepavali tahun ini disambut lebih meriah dalam suasana norma baharu. Ramai juga yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman bertemu sanak saudara selepas kerajaan membenarkan rentas negeri pada 11 Oktober lalu,”katanya dalam ucapan Sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2020 di Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia malam ini.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, semua pihak harus terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan tidak sesekali bersikap sambil lewa atau memandang enteng terhadap ancaman Covid-19.
Tambahnya, pandemik ini akan terus membelenggu dan menyekat kebebasan sekiranya rakyat terus lalai.-UTUSAN ONLINE