TEMERLOH: Para sasterawan dan peminat sastera kini tertanya-tanya siapakah yang akan dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) ke-15 yang membawa gelaran Sasterawan Negara Ke-15.
ASN merupakan jenama dalam dunia sastera tanah air yang diburu semua sasterawan kerana keistimewaan dan prestij yang ada pada jenama tersebut.
Ia mempunyai prestijnya yang tersendiri kerana akan disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada penerima ASN.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku pengerusi panel urus setia sudah menghebahkan maklumat pencalonan ASN Ke-15 pada awal November lalu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Perunding Penyelidikan dan Pembangunan Budaya Melayu Antarabangsa, Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, generasi lama apabila disebut nama Kalam Hamidi sudah tentu mengenalinya kerana tokoh berkenaan dianggap adiguru dalam drama pentas dan persuratan Melayu tanah air sejak awal tahun 1960an lagi.
Beliau berkata, menginjak usia intan 89 tahun, Kalam Hamidi atau nama sebenarnya Abdul Malek Abdul Hamid antara nama besar yang mungkin terlepas pandang dalam perkembangan kesusasteraan Melayu negara.
Menurutnya, sumbangan hebatnya terarah kepada genre penulisan drama dari muda hingga ke usia senja tetapi sumbangan Kalam Hamidi begitu besar dalam melahirkan ramai dramatis tersohor tanah air yang mewarnai kemeriahan seni drama di lapangan dan di media elektronik.
“Berdasarkan bakat luar biasanya, Kalam Hamidi antara tokoh yang wajar berada dalam radar jawatankuasa pemilih diangkat sebagai penerima ASN Ke-15.
“Kalam Hamidi dianugerahkan Allah SWT bakat semula jadi sebagai penulis skrip, mengarah dan berlakon dalam drama yang ditulisnya. Penglibatan awal Kalam Hamidi dalam seni lakon dan drama apabila beliau antara pelakon Filem Puteri Gunung Ledang arahan Datuk S. Roomai Noor yang juga sahabatnya,” katanya di sini semalam.
Aripin yang juga Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan berkata, Antologi Skrip Drama terbaik Kalam Hamidi antaranya Nyiur Gading Puncak Mahligai, Anak Nazar Tujuh Keturunan, Sial Bertuah dan Lain Tunang Lain Kahwin yang pernah diangkat sebagai teks kajian Kesusasteraan Melayu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kalam Hamidi turut menghasilkan Memoir Kalam Hamidi: Dari Panggung Victoria ke Istana Budaya (Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2001) dan Pegangan Pementasan Drama (Penerbit UKM, 2003),” katanya.
Menurutnya, Kalam Hamidi yang menyerlahkan bakat luar biasa menghasilkan skrip drama dari Singapura ke Malaysia seorang insan yang harus diberikan pengiktirafan sebagai penerima Sasterawan Negara Ke-15.
Beliau dalam pada itu berkata, kriteria pemilihan Sasterawan Negara perlu memiliki keistimewaan dalam penulisan karya sastera sama ada puisi, cerpen, novel ataupun drama.
“Sebagai contoh Keris Mas selaku Sasterawan Negara pertama sangat baik dalam bidang novel dan cerpen. Begitu juga penyandang lain seperti Muhammad Salleh dipilih berdasarkan kepada puisi-puisinya yang baik,” katanya. -UTUSAN ONLINE